Tumpuan :
Sukan

Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir Masters Indonesia

Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir Masters Indonesia hari ini.

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terus menyalakan impian bagi memburu gelaran pertama musim ini apabila mara ke separuh akhir Masters Indonesia, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan nombor tujuh dunia berkenaan menundukkan gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 21-16, 21-15 pada aksi suku akhir di Istora, Senayan, Jakarta.

Keputusan itu menyaksikan Pearly-Thinaah mengulangi kemenangan mereka ke atas Fukushima-Matsumoto ketika turut melangkah ke separuh akhir Terbuka India, minggu lalu.

Pencapaian mara ke separuh akhir buat kali kedua-dua berturut-turut setakat ini menyaksikan mereka bangkit daripada permulaan hambar musim ini selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia, awal bulan ini.

Pearly-Thinaah akan meneruskan pemburuan meraih gelaran pertama musim ini berdepan pemenang perlawanan antara gandingan Korea Selatan, Lee Yeon Woo-Lee Yu Lim dengan pasangan Taiwan, Chang Ching Hui-Yang Ching Tun bagi perebutan tiket ke final, esok.

Sementara itu, langkah dua beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terhenti di suku akhir selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Tampil sebagai pilihan pertama, Tang Jie-Ee Wei gagal mengulangi kemenangan ke atas juara Terbuka Malaysia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang diraih di pusingan kedua Terbuka India, minggu lalu apabila kali ini tewas kepada lawan itu dalam pertarungan tiga set 21-18, 20-22, 18-21.

Soon Huat-Shevon yang menghuni ranking nombor empat dunia pula terpaksa akur tunduk di tangan gandingan ranking ke-12 dunia dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 15-21, 9-21.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini