comscore
Tumpuan :
Sukan

Pearly-Thinaah singkir gandingan nombor satu dunia

Pearly-Thinaah akan menentang pasangan Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto untuk memburu tiket ke separuh akhir. – FOTO: Ihsan BAM

BIRMINGHAM: Pasangan wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah melakar kejayaan terbesar dalam kerjaya mereka apabila menundukkan beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan di pusingan kedua Seluruh England, di sini lewat malam tadi.

Perlawanan yang  yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham itu, Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-15 dunia mencatat kemenangan 22-20, 21-16 untuk  mengesahkan tiket ke suku akhir.

Untuk rekod, ini kemenangan pertama Pearly-Thinaah selepas tumpas kesemua lima perlawanan sebelum ini.

Apa yang pasti ia juga hadiah paling bererti buat Pearly yang meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-24 semalam.

Bagaimanapun, Pearly tetap merendah diri di atas kemenangan berkenaan kerana menganggap ia turut dibantu dengan masalah kecederaan yang dialami Yi Fan dalam perlawanan itu.

“Kami memenangi perlawanan tetapi jelas ia dibantu dengan kecederaan yang dialami Yi Fan,” kata Pearly kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Thinaah pula mengakui  mereka tidak membiarkan kekurangan dialami lawan mengganggu rentak permainan mereka.

“Kami hanya mengingatkan diri untuk fokus dan tidak terlalu memikirkan tentang kecederaan lawan. Ini semua mengenai melaksanakan strategi kami dengan baik dan mengurangkan kesilapan kami,” katanya.

Pearly-Thinaah akan bertemu pasangan Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto bagi perebutan tiket separuh akhir ke petang ini.

Peluang buat mereka menebus kekecewaan apabila kalah  kepada beregu ke-11 dunia itu pada pertemuan terakhir di suku akhir Masters Kumamoto di Jepun pada November tahun lalu.

Selain beregu wanita aksi suku akhir hari ini turut menyaksikan dua lagi wakil negara bakal bersaing.

Mereka ialah perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Aaron – Wooi Yik mara selepas mengatasi pasangan Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei 21-18, 24-22 pada aksi pusingan kedua dan akan bertemu juara edisi 2022 dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.

Manakala Zii Jia akan berdepan lawan dari India, Lakshya Sen  selepas mudah menundukkan bekas juara dunia dari Singapura Loh Kean Yew, 21-12, 21-15.

 

Loading...
Terkini