KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah dipaksa bermandi peluh selama lebih satu jam sebelum mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Terbuka Hong Kong 2024 berlangsung di Hong Kong Coliseum, Kowloon, hari ini.
Pada aksi separuh akhir, gandingan kelapan dunia itu menang set pertama 22-20, bagaimanapun tidak mengekalkan momentum kemenangan apabila tewas set kedua kepada pasangan Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee yang juga pasangan kedua dunia 17-21.
Tersentak dari kekalahan itu, Pearly-Thinaah bangkit dari ketinggalan menyamakan kedudukan 10-10, sebelum terus konsisten sehingga mata kemenangan 21-15.Ini merupakan kemenangan ketiga pasangan negara ke atas beregu Korea Selatan.
Pearly-Thinaah akan membuat perhitungan juara Terbuka Hong Kong esok, berdepan sama ada pilihan kedua Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China atau Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan, dalam satu lagi aksi separuh akhir. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.