comscore
Tumpuan :
Sukan

Pei Kee-Mei Xing raih gelaran sulung di Malaysia Super 100

FOTO: BAM

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing menampilkan semangat juang luar biasa untuk meraih gelaran pertama mereka selepas memenangi Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Dalam aksi final yang berlangsung selama 42 minit, beregu di ranking ke-112 dunia itu mengejutkan gandingan pilihan pertama kejohanan dari Taiwan Nicole Chan-Yang Chu Yun dengan kemenangan straight set 22-20, 21-11.

Mei Xing, yang mula bergandingan secara tetap dengan Pei Kee sejak Piala Uber 2024 pada April lalu, tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya selepas meraih kejayaan itu an menyifatkan sorakan padu peminat tempatan menaikkan semangat mereka selain perubahan strategi pada set kedua membantu meningkatkan kelancaran pergerakan mereka di dalam gelanggang.

“Bagi kami, mencapai final sudah merupakan satu pencapaian besar. Kami bertekad untuk tidak melepaskan peluang ini, lebih-lebih lagi setelah sering terkandas di pusingan awal. Kemenangan ini adalah satu ‘comeback’ yang amat bermakna,” kata Mei Xing selepas perlawanan.

Namun, Mei Xing mengakui masa depan gandingan mereka masih belum jelas memandangkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini mengumumkan semua pasangan beregu wanita, kecuali Pearly Tan-M. Thinaah, sedang menunggu penilaian daripada ketua jurulatih baharu yang akan menyertai badan induk itu.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan profesional negara Low Hang Yee-Ng Eng Cheong yang kini berada di kedudukan ke-52 dunia turut mengharumkan nama negara dengan menjuarai kejohanan tersebut.

Mereka menewaskan wakil dari Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith 19-21, 21-15, 21-12.

Gelaran lelaki perseorangan menjadi milik pemain Taiwan Chi Yu Jen selepas menewaskan wakil negara Jason Teh 21-12, 21-23, 21-15 dan pemain Jepun Kaoru Sugiyama mengatasi rakan senegara, Manami Suizu, 21-18, 21-14 untuk merangkul gelaran perseorangan wanita.

Dalam acara beregu campuran, pasangan Taiwan Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan menewaskan gandingan Jepun Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara 21-19, 12-21, 22-20 untuk membawa pulang gelaran juara. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini