comscore
Tumpuan :
Sukan

Pelari menara nombor 1 dunia, Wai Ching tawan Menara Naza

Jaguh larian menara negara, Soh Wai Ching mengungguli kategori Terbuka Lelaki Larian Menara Naza 2024. – Foto NX113

KUALA LUMPUR: Soh Wai Ching terus membuktikan kehebatannya sebagai jaguh larian menara negara apabila mengungguli kategori Terbuka Lelaki Larian Menara Naza 2024 yang kali pertama dianjurkan semalam.

Wai Ching yang juga pelari menara nombor satu dunia, jelas berada dalam kelas tersendiri selepas mencatat masa terpantas 5 minit 16 saat (s) dalam perlumbaan membabitkan bangunan 49 tingkat itu.

Menurut pelari berusia 30 tahun itu, perlumbaan semalam berlangsung dengan sempurna dan dia juga berada pada tahap terbaik walaupun baru sahaja mengambil bahagian dalam satu perlumbaan lain kelmarin.

“Walaupun kali pertama dianjurkan, perlumbaan di sini berlangsung dengan baik daripada segi keadaan tangga, mempunyai kedua-dua pemegang kiri dan kanan serta berhawa dingin. Ia akan memberi galakan buat pelari untuk menyertai lagi perlumbaan ini pada edisi akan datang,” kata Wai Ching selepas tamat perlumbaan.

Dia yang mengetepikan Muhammad Hazim Zuhairi Azahari di tempat kedua (6:02s) dan Wong Chin Chun di kedudukan ketiga (6:45s), mengakui boleh mencatat masa lebih pantas jika menggunakan teknik berbeza.

“Hari ini saya lebih kepada ingin menguji tahap kelajuan, menggunakan teknik lebih konservatif pada awal perlumbaan sebelum memecut sehingga ke penamat. Saya rasa boleh lebih pantas mungkin dalam 5:10s.

“Ini adalah kejuaraan ke-10 atau ke-11 saya untuk tahun 2024 dan selepas ini bakal beraksi dalam dua perlumbaan berturut-turut di Poland dan Jerman. Sasaran saya adalah untuk memenangi lebih 20 daripada 30 perlumbaan tahun ini,” katanya.

Perlumbaan yang dianjurkan Hybrid Management itu berjaya mengumpul 200 peserta dan turut disertai pelari luar negara membabitkan 15 negara termasuk dari Singapura, Austria, Kenya, Kanada, Switzerland, Pakistan, Nepal dan Brunei.

Sementara itu, bagi saingan Terbuka Wanita, pelari Singapura, Serene Cheong berjaya muncul juara dengan catatan 7:16s, mengalahkan wakil negara, Michele Tan (7:42s) dan Teo Sze Hui (8:04s).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini