comscore
Tumpuan :
Sukan

Pelatih NHDP, Bill Wolfson anak Lianie meninggal dunia di Ipoh

Bill Wolfson Anak Lianie.

KUALA LUMPUR: Seorang pelatih Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP), Bill Wolfson Anak Lianie telah disahkan meninggal dunia pagi tadi, ketika berada di Ipoh bagi mengikuti Program Klinik Penjaga Gol NHDP di Akademi Hoki Raja Ashman.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Sukan Negara (MSN), mendiang Wolfson bersama rakannya baru selesai mandi pagi dan selepas itu mengadu tidak selesa serta berasa pitam.

Mendiang kemudiannya secara tiba-tiba rebah di dalam bilik.

Pengurusan NHDP telah menghubungi ambulans dan bantuan CPR telah dilakukan.

Mendiang juga telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan selepas cubaan menyelamatkan nyawa oleh pegawai-pegawai perubatan, mendiang disahkan meninggal dunia.

Pihak hospital masih menyiasat punca sebenar kematian mendiang.

Mendiang Wolfson, 14 tahun adalah pelatih di Pusat Latihan Daerah (PLD) NHDP daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Penrissen, Kuching, Sarawak.

Mendiang terpilih untuk mengikuti klinik penjaga gol di Ipoh pada 5 dan 6 November bersempena dengan penganjuran Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah.

Pihak pengurusan NHDP telah menghubungi keluarga mendiang dan ibu saudara mendiang telah hadir bagi membantu pengurusan jenazah yang akan dibawa pulang untuk pengkebumian di Kuching.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dijadual merasmikan Majlis Penutup Klinik Penjaga Gol, terkejut dengan berita kematian itu.

Datuk Seri Ahmad Faizal telah mengarahkan pengurusan MSN dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk menguruskan jenazah mendiang.

Kerajaan Negeri Perak menerusi MSN Perak juga turut membantu pengurusan jenazah.

Loading...
Terkini