KUALA LUMPUR: Hasrat jaguh muay thai negara, Johan Ghazali Zulfikar untuk berentap dengan petinju England, Freddie Haggerty di pentas ONE Championship mungkin bakal menjadi kenyataan apabila pelawaan itu mendapat sahutan jaguh berusia 19 tahun itu.
Johan, 17, atau lebih dikenali sebagai Jojo baru-baru ini kembali mencatat kemenangan selepas menumbangkan Josue Cruz menerusi keputusan knockout (KO) dalam pertarungan ONE 168:Denver di Amerika Syarikat (AS).
Selepas kemenangan, Johan ‘memetik’ nama Haggerty untuk menjadi lawannya – pertembungan yang disifatkan antara yang amat dinanti-nantikan peminat di kejuaraan itu ketika ini.
Dan bagi Haggerty yang juga adik kepada bekas juara dunia kickboxing Jonathan Haggerty, pelawaan jaguh kelahiran Sarawak itu turut amat dinantikan olehnya.
“Tahniah kepada Johan, pertarungan hebat dan prestasi yang mantap.
“Saya sudah bersedia bila-bila masa sahaja apabila Johan bersedia,” kata Haggerty mengenai kemenangan Jojo bertemu Cruz.
Seperti Jojo, nama Haggerty semakin di puncak di arena ONE Championship susulan dua kemenangan yang dicatatkan ke atas petinju muay thai Thailand, Dankalong Sor Dechapan pada Januari dan Kaichon Sor Yingcharoenkarnchang pada Julai lalu.
Ketika ditemuramah selepas kemenangan ke atas Cruz, Jojo berkata antara lawan yang diharap dapat ditemuinya selepas ini adalah Haggerty dengan pertarungan dilabel sebagai pertemuan dua petarung muda.
“Freddie (Haggerty) menunjukkan minat untuk berentap dan mencabar saya di media sosial. Ramai orang mahu menyaksikannya, saya lihat di bahagian komen ramai mahu perlawanan membabitkan dua petarung muda ini dan saya juga berminat dengan perlawanan itu,” kata Johan.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada penganjur ONE Championship mengenai perlawanan membabitkan dua bintang muda muay thai muda itu namun berdasarkan status kedua-duanya, ia berkemungkinan dapat direalisasikan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.