Tumpuan :
Sukan

Peluang Harimau Malaya ke Piala Asia 2027 kian sukar

Skuad Harimau Malaya ketika ini dalam persiapan menghadapi dua aksi persahabatan menentang Laos dan India pada jendela FIFA. – FOTO: FAM / Facebook

KUALA LUMPUR: Laluan skuad Harimau Malaya ke Piala Asia 2027 nampaknya semakin sukar apabila dijangka kekal berada dalam ‘Balang 2’ bagi undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadual Disember depan.

Menerusi laman Footyrankings, skuad bimbingan Pau Marti Vicente dilihat tidak berpeluang untuk memintas India yang menjadi pasukan dengan ranking terendah dalam ‘Balang 1’ meskipun kedua-dua pasukan akan bertembung di Hyderabad, Isnin depan.

Justeru, kedudukan Malaysia dalam ‘Balang 2’ menyaksikan mereka berpotensi bertemu enam pasukan yang jelas berada pada ranking lebih tinggi dan tidak mustahil mereka berdepan India sekali lagi pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.

Selain India yang dijangka ‘selamat’ untuk terus berada dalam ‘Balang 1’, lima lagi pasukan adalah Syria, Tajikistan, Lubnan serta dua seteru ASEAN iaitu Thailand dan juga Vietnam.

Pusingan ketiga Piala Asia 2027 ini nyata lebih ‘keras’ kerana hanya juara kumpulan akan melayakkan diri ke Arab Saudi memandangkan hanya tinggal enam slot terakhir untuk direbut.

Enam juara kumpulan ini akan menyertai 18 pasukan yang mengesahkan tempat secara merit daripada pusingan kedua Kelayakan Piala Asia 2027 sebelum ini termasuk tuan rumah.

Ketika ini, skuad negara yang menghimpun 1113.92 mata ketinggalan 19.86 mata di belakang India yang mengutip 1133.78 dan dua aksi persahabatan antara Laos dan India tampak tidak cukup untuk memintas jurang 19.86 mata antara kedua-dua pasukan.

Jika Malaysia berjaya melakar kemenangan ke atas India, Malaysia dapat menambah 5.19 mata sementara India akan kehilangan jumlah mata sama – masih ada jurang berbelas mata untuk dikejar skuad negara apatah lagi ini jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terakhir bagi tahun ini.

Meskipun Malaysia akan terbabit dengan Piala AFF 2024 yang turut menawarkan mata untuk ranking FIFA namun jumlah mata yang dikutip begitu kecil – kemenangan ke atas Kemboja dan Thailand hanya membolehkan mereka menambah 4.68 mata.

Jendela FIFA seterusnya adalah pada Mac tahun depan dan ketika itu, pusingan kelayakan sudahpun membuka tirainya bermula 25 Mac 2025 hingga 31 Mac 2026.

Pasukan yang dijangka kekal dalam ‘Balang 2’ selain Malaysia adalah Turkmenistan, Filipina, Afghanistan dan Yaman dengan Hong Kong dilihat memiliki 73 peratus untuk kekal dalam ‘Balang 2’.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini