comscore
Tumpuan :
Sukan

Pelumba wanita berbasikal lebuh raya negara dapat slot ke Olimpik Paris 2024

Phi Kun Pan merangkul pingat emas acara lepas beramai-ramai bawah 23 tahun wanita di Kejohanan Lumba Basikal Lebuhraya Asia (ACC 2023) di Rayong, Thailand, Jun lalu.-Foto: PKBM

KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 dihangatkan lagi dengan satu lagi slot diberikan kepada atlet wanita berbasikal lebuh raya negara ke temasya berprestij itu.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab mengesahkan Malaysia diberikan slot daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) susulan kejayaan pelumba Phi Kun Pan menjuarai  acara lepas beramai-ramai bawah 23 tahun wanita di Kejohanan Lumba Basikal Lebuh raya Asia (ACC 2023) di Rayong, Thailand, Jun lepas.

Abu Samah berkata,  khabar gembira itu dimaklumkan Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI dan Naib Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill  ketika mesyuarat exco PKBM dua minggu lepas.

“Saya difahamkan UCI akan berhubung terus dengan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) untuk notifikasi kelayakan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Abu Samah berkata pihaknya akan menentukan pelumba mana yang layak mewakili negara pada temasya sukan terbesar dunia itu nanti.

Jelas beliau selain Kun Pan, seorang lagi pelumba negara Nur Aisyah Zubir yang memenangi dua pingat gangsa dalam acara lebuh raya dan kriterium wanita di Sukan SEA 2023 Kemboja, Mei lepas, juga berpotensi ke Paris 2024.

Kali terakhir skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan mempunyai wakil di pentas Olimpik adalah pada edisi 2012 di London menerusi dua pelumba lelaki negara Muhammad Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli.

Loading...
Terkini