comscore
Tumpuan :
Sukan

Pemain terbaik dunia pun tidak sempurna – Kim Swee

Dominic Tan jadi kecaman peminat susulan kekalahan Harimau Malaya pada final Pestabola Merdeka – Foto: BERNAMA

PETALING JAYA: “Sudah jadi lumrah apabila pemain pertahanan atau penjaga gol melakukan kesilapan mereka akan menjadi sasaran berbanding kegagalan barisan penyerang  menyempurnakan peluang depan gol,”

Itu kata  Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang  tampil mempertahankan pemain pertahanannya Dominic Tan yang menjadi sasaran kecaman selepas Malaysia tumpas 0-2  di tangan Tajikistan pada final Pestabola Merdeka 2023, malam kelmarin.

Kim Swee memberitahu BuletinTV3,  kecaman itu tidak adil kerana seolah-olah tanggungjawab meraih kemenangan hanya terletak di bahu Dominic.

“Pemain terbaik dunia, katanya turut tidak sempurna, bagi saya peminat berhak untuk menilai tapi untuk mengkritik sehingga tidak mempunyai satu kelogikan, itu tidak mendatangkan sesuatu yang positif kepada pemain,” ujar bekas pengendali skuad kebangsaan berusia 52 tahun itu.

Kim Swee berpendapat pemain berusia 26 tahun itu beraksi bersama pasukan kebangsaan dengan begitu konsisten sebelum ini dan menyifatkannya sebagai seorang pemain muda yang mampu berkhidmat untuk negara dalam jangka masa panjang.

“Untuk mempertikai prestasi Dominic bagi saya ia mestilah berbaloi dengan apa yang sudah dilakukannya. Kita tak boleh terlampau mengkritik dan tidak mempedulikan apa yang dia sumbangkan,”

Dominic menjadi sasaran kecaman peminat dan didakwa sebagai punca kekalahan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon.

Ada  segelintir peminat turut menyamakan Dominic dengan pemain pertahanan England dan Manchester United yang  sering menerima kritikan dan dijadikan bahan jenaka kerana prestasi dan aksinya di padang.

Bersama Sabah FC, Dominic antara pemain paling konsisten, dia membentuk barisan  pertahanan kental yang menyaksikan Sabah FC kini bersaing hebat dalam Piala AFC dengan menerajui Kumpulan H dengan dua kemenangan berturut-turut.

Sabah FC akan bertandang ke Vietnam menentang Hai Phong FC pada aksi ketiga 25 Oktober ini.

“Seperti semua tahu, Dominic sudah bersama saya begitu lama, saya percaya dia seorang individu dengan mentaliti yang kuat dan hadir ke latihan semalam walaupun baru tiba dari Kuala Lumpur selepas bermain dua perlawanan sepenuhnya,” katanya lagi.

Loading...
Terkini