Tumpuan :
Sukan

Pemain warisan dari Belanda hampir dapat pasport Malaysia

Pemain berdarah warisan dari Belanda sah akan memperkuatkan skuad Harimau Malaya menjelang pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027, Mac depan. FOTO FAIL NSTP

KUALA LUMPUR: Identiti salah seorang pemain warisan yang akan memperkuatkan Harimau Malaya didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif skuad kebangsaan, Rob Friend, hari ini.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di laman sosial rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pemain warisan itu adalah dari Belanda dimana proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain berkenaan kini di peringkat akhir.

Pada masa sama, Friend juga menjelaskan tiga lagi pemain warisan dalam proses mendapatkan kerakyatan.

“Kami berharap ingin mengambil langkah yang cemerlang untuk Kelayakan Piala Asia 2027 dengan mempunyai pilihan yang lebih luas.

“Dengan pemain-pemain warisan ini akan meningkatkan peluang bagi aspirasi kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Friend menegaskan pengambilan pemain warisan ini tidak bermakna badan induk itu mengabaikan pembangunan anak tempatan khususnya dari peringkat akar umbi.

“Walau bagaimanapun, kami tetap sama-sama komited untuk mencapai hasil dalam pembangunan pemain domestik di semua peringkat bola sepak di Malaysia.

“Walaupun naturalisasi adalah antara komponen penting dalam strategi kami, kami memahami kepentingan memupuk bakat tempatan untuk memastikan kejayaan yang mampan buat pasukan kebangsaan.

“Matlamat kami adalah mewujudkan skuad seimbang dan berdaya saing yang mewakili kebanggaan dan semangat bola sepak Malaysia,” katanya.

Terdahulu FAM memaklumkan proses mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi empat pemain warisan baharu kini sedang menunggu kelulusan muktamad daripada kerajaan Malaysia.

Bukan itu sahaja, FAM turut mendedahkan bahawa badan induk itu juga dalam proses melengkapkan dokumentasi bagi empat pemain lain dalam usaha memperkuatkan skuad kebangsaan.

Perkembangan terbaharu itu menyaksikan lapan pemain warisan bakal menyarung jersi pasukan kebangsaan dan sekiranya semua proses berkenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat, tidak mustahil peminat akan menyaksikan skuad Harimau Malaya lebih garang bermula aksi menentang Nepal pada kelayakan Piala Asia 2027, 25 Mac depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini