SINGAPURA: Pemandu McLaren, Lando Norris mendominasi keseluruhan perlumbaan Grand Prix (GP) Singapura sekali gus memberi tekanan buat pendahulu kedudukan keseluruhan Formula Satu (F1), Max Verstappen.
Pemandu Britain berusia 24 tahun itu menguasai perlumbaan dari petak utama perlumbaan di litar Marina Bay sehingga ke garisan penamat.
Verstappen yang mewakili Red Bull menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan jurang 20.945 saat (s) di belakang seterunya itu, manakala pemandu McLaren, Oscar Piastri melengkapkan podium di tempat ketiga.
Kelebihan 59 mata dimiliki Verstappen sebelum ini kini berkurangan kepada 52 mata dengan kempen 2024 yang hanya berbaki enam pusingan sahaja lagi, pada ketika McLaren kini terus menjarakkan kedudukan ke atas Red Bull dalam carta pengeluar kepada 41 mata.
“Satu perlumbaan yang menarik. Saya meraih beberapa detik mencemaskan pada pertengahan perlumbaan tetapi ia masih dapat dikawal,” kata Norris selepas melakar kemenangan ketiga dalam kariernya dan ketiganya bagi musim ini.
“Jentera sangat menakjubkan. Saya boleh memecut, kami di hadapan di sepanjang perlumbaan dan pada penghujungnya, kami boleh bersahaja. Jadi ia adalah satu perlumbaan yang baik walaupun sukar.”
Dalam pada itu, Verstappen berkata: “Pada minggu yang kami tahu akan menjadi sengit, penamat kedua ini adalah satu kejayaan yang baik.
“Sudah tentu kami tidak gembira dengan penamat kedua ini. Sekarang, kami hanya perlu mencuba, lebih meningkat dan itulah yang kami sedang lakukan.”
George Russell menamatkan saingan di tempat keempat buat pasukan Mercedes manakala Charles Leclerc di tempat kelima dan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton keenam. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.