comscore
Tumpuan :
Sukan

Pemilihan 23 pemain Malayan Tigress sukar

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah, baju kuning), bergambar bersama pemain skuad B-20 ketika melakukan lawatan ke latihan mereka di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini. – FOTO: NSTP / Mohamad Shahril Badri

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita bawah 20 tahun (B-20) Cameron Ng, mengakui berhadapan kesukaran dalam memuktamadkan senarai akhir 23 pemain yang akan menggalas cabaran negara ke Pusingan Kelayakan Piala Asia 2024, bermula 10 Mac ini.

Katanya, 26 pemain yang berada dalam kem latihan pusat sebelum ini, menunjukkan seratus peratus komitmen dan persembahan terbaik, namun barisan panel jurulatih mengutamakan pemain yang mampu bermain pelbagai posisi di atas padang, bagi skuad Malayan Tigress.

“Ia tugas paling sukar bagi saya, sebab 26 semua pemain ini memberi seratus peratus, setiap hari keputusan untuk memilih itu akan berubah, tetapi untuk kebaikan pasukan dan kita memilih pemain serba boleh untuk membuat pemilihan 23 orang ini.

“Daripada semua pemain, mungkin dua tiga orang yang mungkin boleh main lebih dari satu posisi,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan terakhir di Padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya di sini, hari ini.

Cameron bagaimanapun berpuas hati dengan pemilihan skuad yang sedia ada, selain turut optimis skuad Malayan Tigress bersedia berentap menentang pasukan tuan rumah, Kemboja Jumaat depan.

Dalam pada itu, beliau mengakui semua 26 pemain yang mengikuti pusat latihannya sebelum ini dilihat berpengalaman selain mempunyai teknik bagus, yang memudah tugasnya mengendali pasukan.

Skuad Malayan Tigress B-20 akan berlepas ke Kemboja esok bagi memulakan kempen Kumpulan G menentang tuan rumah pada Jumaat depan dan Myanmar pada Ahad di Stadium Smart RSN, Phnom Penh.

Hanya juara kumpulan layak ke pusingan kedua. – BERNAMA

Loading...
Terkini