Tumpuan :
Sukan

Penalti Zaragoza bantu Sepanyol atasi Switzerland

Pemain Sepanyol, Bryan Zaragoza (kanan) meraikan gol ketiga bersama Marc Casado dan Pablo Barrios ketika menentang Switzerland pada aksi Liga Negara-Negara UEFA di Estadio Heliodoro Rodriguez Lopez, Santa Cruz de Tenerife, awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

TENERIFE: Bryan Zaragoza meraih dan menyempurnakan sepakan penalti lewat untuk membantu juara Euro 2024, Sepanyol mengatasi Switzerland 3-2 pada aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Negara-Negara UEFA awal pagi tadi.

Penyandang juara Liga Negara-Negara itu, yang sudah terjamin sebagai juara Kumpulan A4, dua kali mendahului tetapi berjaya disamakan Switzerland yang sudah tersingkir ke liga bawahan di Tenerife.

Ia kali pertama perlawanan Sepanyol dilangsungkan di pulau itu dalam tempoh 28 tahun dan peminat mampu meraikan kemenangan selepas sepakan penalti minit akhir pemain sayap Bayern Munich, Zaragoza memastikan tiga mata.

Jurulatih Luis de la Fuente merombak keseluruhan barisannya selepas kemenangan ke atas Denmark Jumaat lalu, memberikan pertahanan tengah Athletic Bilbao, Aitor Paredes penampilan sulungnya di benteng pertahanan.

Yeremy Pino, yang berasal dari Pulau Canary itu, meletakkan Sepanyol di depan di laman sendiri selepas 32 minit sesudah sepakan penalti Pedri diselamatkan.

Kapten Alvaro Morata meraih sepakan penalti itu dan memberikan kepada Pedri, yang lahir di Tenerife, bola untuk mengambil sepakan penalti tetapi penjaga gol Yvon Mvogo menyelamatkan percubaan pemain tengah Barcelona itu.

“Di sini di kampung halaman dengan satu gol, kemenangan… saya tidak boleh minta yang lebih lagi,” kata Pino kepada TVE.

“Ia satu perlawanan yang amat istimewa… markah penuh kepada peminat.”

De la Fuente membawa masuk seorang lagi pemain yang tampil kali pertama bersama Sepanyol sejurus selepas rehat iaitu penyerang FC Porto, Samu Aghehowa.

Joel Monteiro menyamakan kedudukan buat Switzerland namun beberapa minit kemudian Bryan Gil kembali meletakkan Sepanyol di depan.

Andi Zeqiri menyempurnakan sepakan penalti selepas kekasaran oleh Fabian Ruiz pada minit ke-85 tetapi Zaragoza memastikan Sepanyol mengakhiri tahun dengan bergaya.

Pemain sayap itu, yang beraksi secara pinjaman di Osasuna dari Bayern, meluru ke dalam kotak penalti dan dijatuhkan oleh Vincent Sierro.

Zaragoza tidak berdepan masalah untuk meledak masuk penalti itu sekali gus mencetus sambutan meriah di Tenerife. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini