comscore
Tumpuan :
Sukan

Penang FC beri bayangan guna khidmat pemain import Korea Selatan

Pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli. FOTO: Penang FC

GEORGETOWN: Pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli tidak menolak kemungkinan akan menggunakan khidmat pemain import dari Korea Selatan menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Menurut Akmal Rizal, dia mempertimbangkan pemain berpotensi dari negara berkenaan untuk mengisi kekosongan di bahagian tengah.

“Sebenarnya tujuh pemain Korea datang dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

“Sekarang cuma tinggal dua pemain Korea Selatan yang sedang menjalani (latihan) percubaan bersama pasukan dan saya lihat mereka ada potensi baik berbanding yang datang sebelum ini.

“Kita masih ingin melihat bagaimana mereka dapat bermain dalam perlawanan kompetitif dengan pasukan dari Liga Super sebab semasa berlatih memang kita tengok bagus, tetapi mungkin bila jumpa pasukan kuat, dia jadi tak bagus,” katanya.

Akmal Rizal berkata, dia berhasrat menurunkan dua pemain berkenaan pada aksi persahabatan pertama bertemu Perak yang buat julung kali turut bakal menguji sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) di Stadium Perak, malam esok.

Menurutnya keputusan lanjut sama ada pasukan akan menandatangani kontrak dengan pemain berkenaan atau tidak hanya boleh dilakukan selepas perlawanan itu.

“Selepas perlawanan kita tengok mereka sesuai atau tidak berada dalam pasukan. Kita perlu berbincang dengan ejen mereka soal gaji dan sebagainya. Kalau semua OK, kita boleh ambil.

“Memang kita masih mencari (pemain import) berdasarkan kemampuan kewangan pasukan. Saya rasa tak kisah dari negara mana kalau sesuai dengan pelan taktikal dan serasi dengan pasukan, kita akan ambil,” katanya.

Skuad Harimau Kumbang ketika ini  mempunyai tiga import termasuk dua daripadanya menyertai pasukan bulan lalu iaitu penyerang dari Brazil, Rodrigo Dias dan pemain pertahanan, Richmond Ankrah yang dipinjamkan dari Selangor FC selama semusim.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini