Tumpuan :
Sukan

Pendengaran permohonan perintah injuksi PFA ditetapkan 7 Februari

KANGAR: Mahkamah Tinggi Kangar menetapkan 7 Februari hadapan sebagai tarikh pendengaran semula permohonan perintah injuksi yang difailkan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) bagi menghalang Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dijadualkan berlangsung pada 15 Februari ini.

Perkara itu disahkan Presiden PFA, Zamri Ibrahim yang memaklumkan penetapan semula tarikh berkenaan dijalankan dalam satu prosiding menerusi sesi sidang video Zoom, hari ini.

“Saya sudah menjangkakan prosiding pendengaran permohonan perintah injuksi ini akan dilaksanakan pada satu tarikh lain kerana ia terlalu cepat dan memberi peluang kepada pihak defendan untuk menghantar afidavit jawapan.

“Tarikh kita (FAM) failkan permohonan perintah injuksi ini di Mahkamah Tinggi Kangar pada 31 Disember lalu (Selasa) dan mendapat jawapan balas (daripada mahkamah) untuk didengari adalah pada Jumaat lalu sebelum prosiding pendengaran dijalankan hari ini (Isnin).

“Jadi kita pun melihat ia agak cepat dan saya tidak menjangkakan untuk satu prosiding perbicaraan dijalankan dan mahkamah perlu memberikan satu tarikh lain untuk pihak defendan menghantar afidavit jawapan sebelum kita menghantar jawapan pembelaan dan baharulah boleh diadakan pendengaran untuk permohonan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, tiada prosiding pendengaran berlangsung pada hari ini, sebaliknya sekadar penetapan semula tarikh untuk pendengaran semula permohonan perintah injuksi ini sahaja yang ditetapkan.

“Malah, dalam prosiding hari ini, peguam yang mewakili defendan ke-18, Setiausaha Agung FAM, (Datuk Noor Azman Rahman) dalam notis permohonan perintah injuksi PFA itu memohon untuk memerlukan suatu tarikh lain dan masa untuk menjawab pada mahkamah kerana tarikh hari ini dilihat agak singkat dan perkara ini adalah begitu mustahak.

“Jadi bagi kami tidak ada masalah memandangkan Kongres Pemilihan FAM itu akan diadakan pada 15 Februari, maka mahkamah mempercepatkan pada 7 Februari depan.

“Saya menyerahkan segalanya kepada mahkamah dan kita sama-sama tunggulah nanti,” katanya.

Pada masa sama, Zamri yang juga peguam menyifatkan kenyataan media peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid yang menyatakan tindakan PFA menyaman FAM sebagai tindakan ‘memakan diri’ kepada PFA yang berisiko dipecat sebagai ahli gabungan FAM buat selama-lamanya adalah sebagai satu kenyataan daripada seseorang yang tidak memahami isu yang berlaku antara PFA dan FAM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini