comscore
Tumpuan :
Sukan

Perak pecat Teong Kim

Perak FC hari ini, mengumumkan bahawa Lim Teong Kim tidak lagi bersama pasukan Liga Super itu berkuat kuasa serta-merta.

KUALA LUMPUR: Kekalahan 1-3 kepada Sabah dalam saingan Liga Super di Stadium Likas kelmarin menjadi aksi terakhir Datuk Lim Teong Kim sebagai pengendali Perak musim ini.

Ia selepas Perak FC hari ini mengumumkan bahawa Teong Kim tidak lagi bersama pasukan Liga Super itu berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan kelab, tugas Teong Kim akan diambil alih oleh Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih sementara skuad Bos Gaurus.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lim di atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuk karier beliau pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.

Pengumuman yang dibuat Perak FC itu menyaksikan Teong Kim menjadi jurulatih ketiga digugurkan pasukan Liga Super musim ini selepas Choi Moon Sik (Kelantan) dan Tomas Trucha (Kelantan United).

Keputusan yang diambil kelab itu dipercayai susulan daripada prestasi hambar Bos Gaurus musim ini apabila sekadar menghuni tangga ke-11 selepas 12 perlawanan.

Untuk rekod, Perak hanya memenangi dua perlawanan Liga Super selain seri tiga kali dan tewas tujuh kali dibawah kendalian Teong Kim.

Sebelum bersama Perak, Teong Kim bertugas sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Loading...
Terkini