
PARIS: Perancis memastikan tempat ke pusingan akhir Euro 2024 apabila mereka mengekalkan rekod cemerlang pada aksi kelayakan dengan kemenangan 2-0 di laman sendiri ke atas Republik Ireland, awal pagi tadi.
Bermain di Parc des Princes, jaringan Aurelien Tchouameni dan Marcus Thuram membolehkan Les Bleus menang selesa.
Penguasaan mereka terbukti pada minit ke-19 apabila rembatan Tchouameni dari jarak 18 meter susulan hantaran pendek Kylian Mbappe menerjah jaring.
Marcus Thuram yang menggantikan penyerang veteran, Olivier Giroud membuktikan kehadirannya berbaloi apabila dia menggandakan kelebihan dengan satu jaringan menarik tiga minit selepas rehat, sekali gus meledak gol sulungnya bersama Perancis.
“Saya patut menyumbat satu gol lagi tetapi saya harap ia hadir pada perlawanan berikutnya,” kata Thuram.
Penjaga gol Mike Maignan cemerlang apabila melakukan satu tindakan penyelamat untuk menafikan Chiedozie Ogbene, memastikan Perancis tidak dibolosi sebarang gol pada kempen kelayakan, setakat ini.
Kemenangan kelima mereka dalam lima perlawanan mengukuhkan pendahuluan mereka dalam Kumpulan B dengan 15 mata maksimum, sembilan mata di depan Belanda, yang menewaskan Greece 3-0 tetapi beraksi kurang dua perlawanan.
“Saya tiada rungutan. Kami belum layak lagi tetapi setakat ini ia kempen yang bagus. Bukan selalu dapat mencari jalan penyelesaian dengan mudah dan kami patut menjaringkan banyak gol lagi,” kata jurulatih Didier Deschamps.
Perancis berdepan Jerman di Dortmund Selasa ini pada aksi persahabatan antarabangsa sebelum meneruskan kempen kelayakan dengan kunjungan ke Belanda, 13 Oktober depan. – REUTERS