comscore
Tumpuan :
Sukan

PERMOTORAN: Litar Permotoran Terengganu Diputuskan Selamat, Dibenarkan Beroperasi Semula Bersyarat

Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin

KUALA TERENGGANU: Pemeriksaan terhadap Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus mendapati venue tersebut berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menjelaskan laporan tersebut diterima dari Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) hasil proses yang dilakukan sendiri oleh Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).

“Pihak MSNT juga sudah memanggil Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) yang diwakili Wazi Abdul Hamid untuk membuat pemeriksaan lanjut di litar berkenaan, hasil laporan litar berkenaan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.

Dakwaan sebelum ini yang mengaitkan litar berkenaan beralun, ianya tidak benar sebaliknya litar berkenaan adalah elok dan memenuhi standard yang dibenarkan, maksudnya jika ada perlumbaan yang mahu diadakan boleh diteruskan, kejohanan terdekat pada Sabtu (esok),” katanya selepas Majlis Apresiasi Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu di Taman Tamadun Islam semalam.

Seorang peserta saingan ‘Battle Of The King’ (BOTK) di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus Muhammad Hafez Jamal Jamaluddin atau lebih dikenali Apeh Jamal meninggal dunia Sabtu lalu selepas terbabit dalam kemalangan di litar tersebut semasa perlumbaan drag.

Kereta Mitsubishi Evolution Lancer yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas ketika ujian masa.

Mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa dengan ambulans ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.

Wan Sukairi juga menjelaskan laporan itu menyebut kemalangan yang berlaku bukanlah disebabkan oleh keadaan litar, tetapi masalah teknikal yang berlaku pada jentera (kereta) sehingga terjadinya insiden yang meragut nyawa pemandu.

Tambahnya, hasil pemeriksaan pakar dan laporan penuh itu mendapati litar tersebut memenuhi piawaian standard justeru penganjuran sukan permotoran termasuk perlumbaan drag di venue berkenaan kembali dibenarkan dengan jarak maksimum sejauh 200 meter sahaja seperti disyorkan pakar.

Loading...
Terkini