
KUALA LUMPUR: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mengumumkan pelantikan dua bekas atlet kebangsaan, Bryan Nickson Lomas sebagai pengarah teknikal manakala Khairul Safwan Mansur menggalas tugas selaku pengarah prestasi tinggi untuk skuad terjun negara.
Perkembangan itu dikongsikan Setiausaha Kehormat MAS, Andy Low dengan kedua-dua individu berkenaan akan memulakan tugas mereka pada 1 Oktober ini.
Kehadiran Bryan dan Khairul dilihat mampu membantu usaha MAS untuk kembali melonjakkan prestasi atlet terjun negara dan memperkasakan lagi program pembangunan akar umbi.
“Sudah pasti selepas mereka dilantik, kami mahu lihat perubahan iaitu skuad negara mula meraih pingat emas. “Seluruh negara mahukan pingat emas daripada kami, jadi semuanya adalah tidak mustahil sekiranya mereka bekerja keras seperti pasukan China, dan saya yakin kita mampu untuk tewaskan mereka suatu hari nanti,” kata Andy.
Beliau, berkata keputusan untuk menggunakan kepakaran tempatan dibuat kerana mahu memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
MAS akan mengadakan perbincangan dengan mereka dalam membuat perancangan jangka masa pendek dan panjang.
Antaranya menumpukan kepada usaha akar umbi, melaksanakan lebih banyak kelas dan menubuhkan pusat latihan terjun bagi mendapatkan lebih ramai pelapis kebangsaan,
Ini adalah sebahagian daripada tugas pengarah teknikal dan pengarah prestasi tinggi yang akan bekerja rapat untuk mendapatkan kelompok penerjun elit yang baharu.
Bryan Nickson, 33 tahun pernah mencipta sensasi apabila menjadi atlet kedua termuda dunia yang beraksi di Sukan Olimpik Athens 2004.
Selepas bersara pada 2015, Bryan menjadi jurulatih sambilan untuk pasukan Selangor dan kemudian berkelana ke Timur Tengah sebagai tenaga pengajar bagi Kelab Terjun Kazma di Kuwait.