comscore
Tumpuan :
Sukan

Pertemuan Belanda dan Ecuador jadi tumpuan, Van Gaal akui skuad kendalian Gustavo Alfaro lebih sukar

Gakpo meraikan jaringannya ketika berdepan Senegal. -Foto: Reuters

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

AL RAYYAN: Selepas kemenangan yang diraih kedua-dua pasukan pada perlawanan pertama, pastinya sasaran sama diletakkan Belanda dan Ecuador menjelang pertemuan kedua tengah malam nanti.

Bagi jurulatih Belanda, Louis Van Gaal, memang percaturan lebih ampuh perlu diatur memandangkan Ecuador telah mempamerkan persembahan baik ketika menundukkan tuan rumah, Qatar 2-0 pada perlawanan pertama.

Antara yang menjadi pertaruhan, semestinya ketajaman pengempur PSV Eindhoven, Cody Gakpo untuk merobek gawang Ecuador.

“Saya rasa Ecuador adalah sebuah pasukan yang lebih tersusun berbanding Senegal, mereka lebih tangkas dan bijak, jadi lebih sukar berbanding ketika berdepan Senegal.

“Cody Gakpo memang seorang pemain yang berbakat, tetapi dia masih muda dan masih melalui fasa perkembangan, masih ada ruang untuknya terus meningkat, paling penting, dia memiliki personaliti yang bagus, sedia melakukan segalanya untuk menang, sama ada dia akan menjadi pemain bintang di pentas Piala Dunia ini atau tidak, saya tidak boleh janjikan apa-apa, yang jelas, saya tahu dia mampu untuk menyinar,” kata Van Gaal pada sidang media pasukan.

Sementara itu, jurulatih Ecuador, Gustavo Alfaro masih berteka-teki sama ada penjaring dua gol, Enner Valencia akan diturunkan atau tidak berdepan Belanda nanti.

Penyerang Fenerbache itu akan menjalani ujian kecergasan bagi menentukan sama ada dia bersedia untuk beraksi atau perlu direhatkan.

“Kita akan melihat sekali lagi tahap kecergasannya hari ini dan apa yang dirasakannya, menurut pasukan kesihatan, dia tidak mengalami kecederaan dan maklumat itu amat penting, tetapi kekasaran yang dialaminya sangat keras dan ada kemungkinan akan memberikan kesan kepada tahap fizikalnya.

Enner Valencia ketika menjalani latihan bersama pasukan Ecuador. -Foto: Reuters

“Enner Valencia, dia pasti mahu bermain, lebih-lebih lagi ini di pentas Piala Dunia, atau saingan kelayakan, mana-mana perlawanan atau situasi perlawanan istimewa, jadi biarlah ia menjadi kebimbangan pasukan kami, kita akan lihat reaksinya pada sesi latihan, begitu juga dengan perlawanan nanti, kita akan lihat sama ada dia berada dalam kesebelasan utama atau diturunkan sebagai pemain gantian,” kata Alfaro.

Perlawanan Belanda menentang Ecuador akan berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa dengan pemenang akan berpeluang cerah untuk meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya.

Loading...
Terkini