comscore
Tumpuan :
Sukan

Pesaka tetapkan satu garis panduan baharu penganjuran kejohanan silat

Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin merasmikan Kejohanan Silat Piala Laksamana Putra di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, malam tadi.- Foto: NSTP

MELAKA: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) telah menetapkan satu garis panduan baharu kepada penganjur kejohanan silat di negara ini.

Presiden Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, penganjur kejohanan silat di negara ini tidak dibenarkan melebihi masa pertandingan sehingga lewat malam dan memendekkan masa kepada hanya satu pusingan pertandingan

Tegas Megat Zulkarnain, setiap kejohanan yang diadakan hendaklah menepati kehendak pesilat yang datang dari jauh dan mana-mana penganjur tidak dibenarkan untuk mengambil keuntungan semata-mata.

“Kita tidak mahu kejadian yang berlaku baru-baru ini di Kuala Lumpur berulang tanpa mengambil kira jumlah kekuatan pegawai teknikal dan gelanggang yang dipertandingkan dengan menerima lebih 3,000 pesilat.

“Tetapi akhirnya pertandingan itu melewati pukul 3 hingga 4 pagi dan ada yang dipendekkan satu pusingan … ini tidak baik bagi imej persilatan secara keseluruhan dan sebab itulah Pesaka mengetatkan syarat pertandingan,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain memaklumkan peluang sukan pencak silat dipertandingkan semula dalam Sukan Asia Aichi – Nagoya 2026 dilihat cerah berikutan pelbagai usaha giat dilakukan bagi melobi selain menerima reaksi positif daripada pihak tuan rumah.

Menurut Megat Zulkarnaian, hal ini berikutan negara penganjur temasya itu turut mempunyai Persatuan Pencak Silat Jepun (JPSA) yang telah wujud sejak puluhan tahun lepas dan ia bukan sukan seni mempertahankan diri baharu di negara berkenaan.

Tambah beliau perkembangan dan populariti sukan itu yang semakin meningkat di rantau Asia juga tidak boleh dinafikan selain turut mempunyai persekutuan pencak silat di setiap wilayah iaitu Asia Barat, Asia Timur, Asia Selatan, Asia Tenggara dan Asia Tengah.

“Ini antara peluang dan senjata yang baik untuk kita melobi dan saya nampak ada peluang kerana kita telah menghantar permohonan memandangkan terdapat acara sukan yang masih boleh dipertimbangkan untuk dipertandingkan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini