ASTANA: Atlet negara antara 2,500 atlet dari 89 negara yang akan bersaing pada Temasya Sukan Nomad Dunia (WNG) ke-5 yang membuka tirai pada Ahad.
Dianjurkan oleh Kerajaan Republik Kazakhstan, WNG yang menampilkan 21 sukan tradisional itu akan berlangsung sehingga 13 September.
WNG dirasmikan oleh Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev pada Ahad malam di Astana Arena dalam upacara penuh warna-warni.
Menurut laman sesawang WNG, September adalah ‘masa tradisional’ untuk bercuti, menandakan selesainya penghijrahan daripada perkhemahan musim panas ke musim sejuk.
Oleh itu laluan kafilah manusia dan haiwan dengan “yurt” serta harta benda secara tradisinya berakhir di kawasan perkhemahan baharu dengan pelbagai ritual, permainan dan pertandingan.
Acara sukan antarabangsa yang pertama kali dianjurkan di Republik Kyrgyzstan itu telah mencapai status global, melibatkan penyertaan banyak negara setiap tahun serta menarik minat orang ramai dari pelbagai negara, termasuk luar Asia Tengah.
WNG yang tersenarai dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO merupakan pertandingan sukan antarabangsa dalam sukan etnik, berdasarkan sukan tradisional masyarakat nomad di Asia Tengah.
Laman sesawang itu menyatakan objektif WNG adalah untuk membangunkan etno-sukan dan pergerakan etno-budaya sebagai warisan tamadun manusia.
WNG pertama kali diadakan di Kyrgyzstan pada 2014 dengan penyertaan 583 atlet dari 19 negara melibatkan 10 sukan.
Selain penyertaan negara yang mewarisi tamadun nomad, pasukan dari seluruh dunia – termasuk negara yang bukan nomad – turut dijemput untuk menyertai Sukan Nomad Dunia.
Sebanyak 97 set pingat ditawarkan pada temasya yang mempertandingkan beberapa acara antaranya lumba kuda, memanah tradisional, memburu dengan burung, serta gusti nasional, seni mempertahankan diri dan permainan rakyat, serta permainan intelektual tradisional. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.