comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA AFF 2022: “Bukan senang nak menari di Bukit Jalil”

Kemaskini di Instastory penyerang Singapura, Ikhsan Fandi sebelum pertemuan dengan Malaysia. – FOTO: ikhsanfandi / Instagram

KUALA LUMPUR: “Saya dengar ada pemain dari Singapura nak menari malam ini (semalam) tetapi tak boleh. Ini Bukit Jalil, tak boleh buat.”

Itu antara reaksi pemain kebangsaan, Safawi Rasid selepas berjaya membantu skuad Harimau Malaya mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala AFF 2022 menerusi kemenangan selesa 4-1 ke atas Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jelas pemain yang akan berhijrah ke Ratchaburi FC pada musim depan itu, dia bangga dengan komitmen yang ditunjukkan rakan sepasukannya selain motivasi yang sentiasa diberikan oleh barisan kejurulatihan pasukan.

“Saya gembira kerana kita menang bukan 1-0 atau 2-0 tetapi menang 4-1. Tidak mudah untuk menang dengan empat gol. Tiada apa yang boleh saya katakan selain saya bangga dengan rakan sepasukan,” katanya.

Pemain Malaysia, Muhammad Safawi Rasid (kanan) diasak oleh pemain Singapura, Shakir Hamzah pada Perlawanan aksi terakhir peringkat kumpulan B antara Malaysia menentang Singapura saingan Piala AFF Mitsibishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil. – FOTO: NSTP

Terdahulu, kemaskini di Instastory penyerang Singapura, Ikhsan Fandi menjadi tular di laman media sosial apabila pemain BG Pathum United itu seakan tidak sabar untuk menantikan ‘Derbi Seberang Tambak’ itu.

“Merancang untuk menari sekali lagi menentang mereka (Malaysia) tetapi Tuhan ada perancangan lain, Ilhan Fandi. Kita akan mengharungi perlawanan ini bersama,” kata Ikhsan.

Sebagai rekod, Ikhsan yang juga anak kepada legenda Singapura, Fandi Ahmad meledak dua gol untuk membantu pasukannya menewaskan Malaysia 2-1 pada aksi Siri Tiga Negara Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) di laman mereka, Mac lalu.

Malah, pemain berusia 25 tahun itu juga seakan sudah kembali mendapat prestasinya apabila berjaya melakukan dua hantaran gol pada ‘Derbi Seberang Tambak’ itu.

“Ini semua bantuan rakan sepasukan yang sentiasa memberi sokongan kepada saya. Alhamdullilah, saya mendapat lima bantuan gol dalam kejohanan ini dan ia bukanlah satu perkara yang mudah.

“Saya pun bangga dengan diri sendiri kerana saya sudah lama tidak bermain. Kejohanan ini adalah tempat untuk saya buat balik nama saya,” katanya.

Loading...
Terkini