comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA AFF 2022 – FAM akur keputusan AFF

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghormati keputusan dibuat Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) yang menolak bantahan kad merah terhadap tonggak pertahanan kanan Malaysia, Azam Azmi Murad ketika aksi Kumpulan B Piala AFF menentang Vietnam, di Hanoi 27 Disember lalu.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, biarpun keputusan itu sedikit mengecewakan namun pihaknya tetap profesional dan menerimanya dengan hati terbuka.

Begitupun, badan induk bola sepak tempatan itu tidak akan berdiam diri apabila akan meneliti bentuk lain yang boleh dikemukakan bagi mendapat pembelaan sewajarnya di atas insiden itu.

“Pertama sekali FAM terima keputusan itu dengan terbuka. Kita dah ikut saluran yang betul dengan menghantar bantahan kepada AFF untuk tindakan lanjut.

“Walaupun keputusan tidak memihak kita, tapi kita kena ‘gentlemen’ dan terimanya. Kita dah buat sebaik mungkin, tapi saya akan bincang dengan Timbalan Presiden, Datuk S Sivasundaram (Pengerusi Jawatankuasa Penilai Pengadil FAM) bentuk-bentuk lain yang kita boleh ketengahkan.

“Tapi buat masa ini, kita hormati dan terima keputusan itu. Apapun, selepas ini jelas kita tidak mahu lagi pengadil itu (Ryuji Sato) mengadili perlawanan babitkan pasukan negara,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Ryuji Sato yang berasal dari Jepun dikecam hebat oleh peminat Harimau Malaya berikutan beberapa keputusan yang dibuatnya pada perlawanan itu terutama apabila memberikan penalti kontroversi kepada Vietnam pada minit ke-59, yang menyaksikan Azam turut dilayangkan kad merah.

Dalam aksi itu, Malaysia tumbang 0-3 yang berlangsung di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini