comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA AFF 2022: Harimau Malaya sudah ‘move on’

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Barisan pemain Harimau Malaya tampak berfikiran positif dan sudah melupakan insiden penalti kontroversi ketika tewas 0-3 kepada Vietnam dalam saingan Piala AFF 2022 di Hanoi, kelmarin.

Perancang tengah Harimau Malaya, Brendan Gan menegaskan bahawa perkara utama ketika ini adalah melakukan analisis aksi berdepan Vietnam bagi mengesan kelemahan yang perlu diperbaiki.

Katanya, perkara itu penting dalam mempersiapkan pasukan untuk menghadapi aksi terakhir Kumpulan B berdepan Singapura yang turut menjadi perlawanan hidup mati buat Harimau Malaya.

“Sukar berdepan Vietnam, tapi kami berjaya mencipta banyak peluang. Namun, sekiranya peluang itu boleh disudahkan dengan jaringan, perlawanan mungkin berbeza.

“Tetapi, itulah bola sepak, kalau anda tidak dapat menjaringkan gol ia akan jadi sukar. Vietnam adalah pasukan yang bagus dan mereka menunjukkan kualiti, tapi saya fikir kami juga mempamerkan kualiti kami.

“Kami akan melakukan analisis, lihat apa yang perlu perbaiki untuk berdepan Singapura dan mereka juga pasukan kuat. Namun, jika kami dapat mengatasi masalah yang ada, kami akan dapat keputusan positif di Stadium Nasional,” katanya.

Kekalahan kepada Vietnam di Stadium My Dinh menyaksikan Harimau Malaya kini berada di tangga kedua kumpulan dan berkongsi enam mata bersama pendahulu, Vietnam dan Singapura di kedudukan ketiga.

Situasi itu mencetuskan persaingan sengit antara tiga pasukan terbabit dalam merebut kedudukan dua teratas untuk meraih slot ke separuh akhir.

Vietnam dan Singapura akan membuat perhitungan terlebih dahulu di Stadium Jalan Besar, esok dengan aksi itu turut akan mempengaruhi peluang Malaysia ke separuh akhir.

Loading...
Terkini