comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala AFF 2022: Seri dengan Vietnam, Indonesia tempah laluan sukar ke final

Pemain Indonesia, Marselino Ferdinan Philipus (kiri) dikasari pemain Vietnam, Nguyen Tuanh Anh dan Do Duy Manh pada aksi pertama separuh akhir Piala AFF 2022 di di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, kelmarin. Keputusan berakhir 0-0. – Foto: AP

KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR: Indonesia menempah laluan sukar untuk ke final Piala AFF 2022 apabila terikat tanpa jaringan dengan Vietnam pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, kelmarin.

Keputusan itu sekali gus bermakna skuad Garuda gagal mendapatkan bekalan selesa di tempat sendiri untuk dibawa ke gelanggang keramat Vietnam iaitu Stadium My Dinh dalam aksi timbal balik, Isnin ini.

Peluang untuk anak buah Shing Tae Yong ke final buat kali ketujuh tetap ada, namun mereka wajib merobek gawang Vietnam atau perlu mengharapkan aksi di Hanoi diheret ke penentuan sepakan penalti.

Gambaran itu jelas bahawa skuad Garuda bakal berdepan tugas berat kerana Vietnam masih belum tewas sepanjang Piala AFF kali ini, malah mereka juga tidak melepaskan sebarang gol sepanjang lima perlawanan.

Berdasarkan dua aksi peringkat Kumpulan B di laman sendiri sebelum ini, skuad Golden Star Warriors tampak sukar digugat di Stadium My Dinh apabila mencipta kemenangan bergaya dengan menundukan Malaysia dan Myanmar 3-0.

Ia membuktikan bahawa skuad kendalian Park Hang Seo bukan sahaja memiliki ketajaman di bahagian serangan, mereka juga mempunyai benteng pertahanan yang kebal.

Penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam turut melaungkan amaran awal bahawa pasukannya akan bangkit meledak jaringan pada aksi separuh akhir kedua nanti.

“Paling penting kami tidak melepaskan gol selepas pertahanan melakukan tugas yang terbaik. Kami juga tidak menjaringkan gol (berdepan Indonesia), jadi kami akan berusaha di tempat sendiri,” katanya.

Berdasarkan keputusan aksi pertama, Indonesia dijangka tampil dengan corak permainan lebih bertahan dan mengharapkan serangan balas untuk memerangkap Vietnam.

Paling utama barisan pemain Indonesia perlu berwaspada dengan mainan psikologi dan aksi agresif yang bakal ditampilkan Vietnam seperti ketika berdepan Malaysia sebelum ini.

Atas kertas, peluang untuk ke final dilihat lebih memihak kepada Vietnam dengan mereka juga sedang mengintai untuk merangkul kejuaraan Piala AFF buat kali ketiga selepas 2008 dan 2018.

Satu lagi aksi separuh akhir berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi yang menemukan Malaysia dan juara enam kali, Thailand.

Tidak dinafikan keputusan aksi pertama akan mempengaruhi peluang untuk skuad Harimau Malaya dan Gajah Perang ke final, namun keputusan akhir pada aksi kedua di Bangkok, Selasa ini akan menentukan siapa yang lebih berhak ke pentas akhir untuk berdepan Indonesia atau Vietnam. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini