comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA AFF 2022 – Thailand turut kecewa corak pengadilan

Pemain Malaysia, Nur Shamie Iszuan Amin cuba menyekat pemain Thailand, Bordin Phala pada Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil. – AP

KUALA LUMPUR: Seperti Malaysia, Thailand turut tidak berpuas hati dengan corak pengadilan pegawai perlawanan dari Korea Selatan, Kim Dae Yong pada separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Tuan rumah dinafikan gol menerusi tandukan Dominic Tan berikutan satu sepakan percuma pada minit ke-55 manakala pelawat berasa mereka patut dianugerahkan tendangan penalti pada minit ke-83 apabila pemain tengahnya Bordin Phala dijatuhkan dalam kotak penalti.

Bagaimanapun pengadil dari Korea Selatan itu tidak mengendahkan bantahan dua pemain mereka, kapten Theerathon Bunmathan dan pemain tengah Sarach Yooyen sekali gus mencetus kecaman dalam beberapa media Thailand yang menyifatkannya sebagai tidak adil.

Malah ada media negara itu yang menganggap standard pengadil yang bertugas pada kempen Piala AFF kali ini tidak ubah seperti pengadil bertaraf amatur dan lebih baik menggunakan khidmat pengadil dalam kalangan negara Asia Tenggara sendiri.

Liga Perdana Thailand menggunakan video bantuan pengadil (VAR) bagi membantu beberapa keputusan dalam perlawanan tetapi Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) tidak pernah menggunakan teknologi itu pada Piala AFF sehingga kini.

Media mereka turut melahirkan keyakinan anak buah Mano Polking mampu bangkit mengatasi defisit satu gol itu apabila menerima kunjungan Harimau Malaya pada aksi kedua separuh akhir di Stadium Thammasat, Selasa ini.

Bagi mereka, skuad Gajah Perang tidak bernasib baik untuk memenangi perlawanan itu kerana mencipta banyak peluang dengan melakukan empat percubaan tepat berbanding Malaysia hanya satu, manakala dari segi pegangan bola mereka ternyata lebih unggul 73 peratus berbanding lawan hanya 27.

Media mereka juga turut menularkan insiden pada perlawanan malam tadi apabila beberapa pemainnya menjadi mangsa tembakan lampu laser daripada peminat Harimau Malaya yang membanjiri Stadium Nasional.

Pada separuh masa kedua, peminat tempatan didakwa menyasarkan lampu laser terhadap pertahanan Thailand, Pansa Hemviboon yang terbabit dalam pergelutan di udara ketika gol Dominic itu tidak disahkan oleh pengadil.

Mereka juga mendakwa ketua pasukan Theerathon turut menjadi mangsa tembakan lampu laser ketika dia mahu mengambil sepakan sudut. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini