Tumpuan :
Sukan

Piala ASEAN: Filipina kejutkan juara bertahan

Pemain Thailand cuba melepasi hadangan pemain Filipina pada aksi separuh akhir pertama Piala ASEAN di Stadium Memorial Rizal. – Foto Thailand FA

MANILA: Filipina berjaya mengejutkan juara bertahan, Thailand 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala ASEAN 2024 penuh dramatik di Stadium Memorial Rizal, malam tadi.

Jaringan minit akhir Enrique Linares membolehkan skuad bimbingan Albert Capellas Herms menghadiahkan kekalahan pertama buat Thailand selepas cemerlang meraih empat kemenangan berturut-turut pada kempen kali ini.

Ini menyaksikan Filipina hanya memerlukan keputusan seri pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Isnin depan.

Filipina yang lebih menguasai babak pertama berjaya membolosi gawang Thailand pada minit ke-21 menerusi rembatan menarik Sandro Reyes yang menewaskan Patiwat Khammai untuk kedudukan 1-0.

Hasrat Filipina untuk mengekalkan kelebihan menuju ke masa rehat tidak kesampaian apabila Suphanat Bureerat menyamakan kedudukan selepas menyudahkan hantaran Patrik Gustavsson di hujung babak pertama.

Bersambung babak kedua, Thailand menggandakan asakan dan melancarkan beberapa percubaan untuk mendapatkan gol kedua namun tidak mampu menggegar gawang kawalan Quincy Kammeraad.

Ketika keputusan seakan berakhir dengan 1-1, Linares membuatkan Stadium Memorial Rizal ‘meletup’ dengan jaringan kemenangan pada minit kelima masa tambahan babak kedua untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Kelmarin, Vietnam membawa bekalan dua gol menuju aksi separuh akhir kedua di laman sendiri selepas menumbangkan juara empat kali, Singapura 2-0 di Stadium Jalan Besar.

Vietnam beroleh dua gol pada masa tambahan babak kedua menerusi sepakan penalti Nguyen Tien Linh (m90+11) dan juga Rafaelson (m90+14).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini