comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA ASIA 2023: Harimau Malaya kian yakin selepas panas badan dengan Syria

FOTO: Facebook Football Association of Malaysia

DOHA: Skuad negara berada dalam ‘mood’ dan momentum yang memberangsangkan menuju saingan Piala Asia 2023 berdasarkan kejayaan mengikat pasukan ranking 91 dunia, Syria dalam perlawanan tertutup tiga hari lalu.

Pemain pertahanan Daniel Ting menjelaskan, Malaysia yang berhadapan anak buah Hector Cuper di Grand Hamad Stadium pada malam itu hampir-hampir menewaskan lawan.

“Kami telah bermain perlawanan persahabatan dengan Syria dan ia bagus dari segi kecergasan dan percubaan taktikal yang sedang diusahakan. Akhirnya kami semakin yakin. Mereka (Syria) mempunyai ranking tinggi daripada kami tetapi saya rasa kita mampu mencabar mereka dan hampir mampu memenangi perlawanan, jadi saya yakin,” jelas pemain berusia 31 tahun itu.

FOTO: Facebook Football Association of Malaysia

Lahir di Cheshire, England, Ting yang merupakan pemain berdarah campuran berikutan ayahnya berasal dari Sarawak turut mendapat minit permainan dalam aksi 8 Januari lalu.

Harimau Malaya sudah memulakan persiapan sejak 26 Disember lalu dari tanah air hingga ke Qatar menyaksikan proses penyesuaian berjalan dengan lancar, dari sudut persekitaran di Doha, mahupun keserasian gandingan dalam pasukan dikalangan 26 pemain.

“Walaupun terdapat jurang besar dari segi ranking, kami mampu menyamai tahap mereka. Itu memberikan keyakinan kepada kami untuk menghadapi Jordan selepas ini. Agak bagus mendapat rentak awal sekaligus membantu kami menuju perlawanan pertama,” kata pemain itu yang mula menyarung jersi negara sejak Mac 2023.

Jurulatih Kim Pan Gon kini menginjak ke fasa kritikal iaitu perlu menyiapkan kombinasi terbaik serta taktikal berkesan menghadapi Jordan pada 16 Januari terlebih dahulu sebelum meneruskan tugasan kumpulan E menentang Bahrain dan Korea Selatan.

Loading...
Terkini