comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Asia 2023: Qatar hampiri misi pertahan kejuaraan

Almoez Ali meraikan gol ketiga Qatar bersama Abdulaziz Hatem. FOTO: Reuters

DOHA: Gol lewat permainan Almoez Ali memastikan Qatar hanya selangkah lagi bagi mempertahankan gelaran apabila mara ke final Piala Asia 2023 selepas menewaskan juara tiga kali Iran 3-2 pada perlawanan separuh akhir yang sengit di Stadium Al Thumama di sini, malam ini.

Pada aksi malam ini, Iran mendahului pada minit keempat menerusi Sardar Azmoun dan Jassem Gaber Abdulsallam menyamakan kedudukan buat Qatar pada minit ke-17.

Akram Afif memastikan Qatar bangkit daripada ketinggalan apabila meledak gol kedua pasukan di hujung separuh masa pertama.

Iran kemudian mengikat kedudukan 2-2 di awal babak kedua menerusi penalti Alireza Jahanbakhsh, namun Ali, penjaring terbanyak edisi 2019 memastikan Qatar ke final dengan jaringan kemenangannya pada minit ke 82.

Keputusan itu menyaksikan The Maroons meraih kemenangan pertama ke atas Iran sejak 2009, manakala kekalahan menyaksikan Iran terus kempunan menjejakkan kaki ke pentas final selepas kali terakhir melakukannya ketika memenangi gelaran ketiga pada edisi 1976 di Tehran.

Pada final di Stadium Lusail, Sabtu ini, Qatar bimbingan Marquez Lopez akan membuat perhitungan dengan Jordan yang melakar sejarah mara ke final buat kali pertama selepas menyingkirkan juara dua kali Korea Selatan 2-0, semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini