comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Asia B-23: Tewas kepada Vietnam, Harimau Muda tersingkir

Penyerang skuad B-23 negara, Fergus Tierney dikawal ketat benteng Vietnam.- Foto: FAM

PETALING JAYA: Skuad bawah 23 tahun (B-23) gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir Piala Asia B-23 apabila tewas 0-2 kepada Vietnam pada saingan Kumpulan D di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha sebentar tadi.

Itu kekalahan kali kedua berturut-turut selepas tewas 0-2 kepada Uzbekistan pada aksi pertama di gelanggang sama, pada Rabu.

Menyedari hanya kemenangan yang mampu meneruskan cabaran di Doha, skuad bimbingan Juan Torres Garrido bermula garang menerusi rembatan  leret Fergus Tierney pada minit ketiga yang sedikit tersasar.

Pasukan negara terus menekan kubu lawan dengan barisan pertahanan Vietnam cukup sibuk mengekang asakan bertali arus namun percubaan Tierney mahupun Luqman Hakim Shamsudin yang tepat ke arah penjaga gol atau tersasar.

Kapten Harimau Muda Mukhairi Ajmal cuba memperdaya pertahanan Vietnam. – Foto: FAM

Begitupun lawan yang sekali sekala menyerang akhirnya berjaya membolosi gawang skuad negara menerusi sepakan percuma Khuat Van Khang enam minit sebelum babak pertama berakhir.

Selepas rehat pintu gol Harimau Muda bocor lagi, kali ini menerusi sepakan penalti Vo Hoang Minh Khoa.

Pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas kekasaran Ubaidullah Shamsul Fazili ke atas Bui Vi Hao pada minit ke-60.

Garrido membuat tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Muhammad Syahir Bashah, Muhammad Aliff Izwan dan Muhammad Haqimi Azim namun benteng pertahanan Vietnam cukup ampuh menafikan segala percubaan.

Paling hampir menerusi dua percubaan Tierney masing-masing di minit 81 dan 87 serta voli Haqimi di hujung permainan tidak menemui sasaran sekali gus tersingkir daripada kejohanan.

Manakala Vietnam meneruskan kemaraan ke suku akhir mendahului Kumpulan D dengan enam mata.

Malaysia pula kekal tercorot tanpa mata dan terus buntu mencipta gol selepas dua perlawanan.

Selepas ini, pasukan negara akan melengkapkan jadual perlawanan dengan menentang Kuwait di Stadium Al Janoub, Selasa ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini