comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Asia: Penalti bawa Iran ke suku akhir

 

Foto: Reuters

DOHA: Juara tiga kali, Iran mengungguli penentuan penalti sebelum menyingkirkan Syria pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Asia di Stadium Abdullah Bin Khalifa.

Iran menang 5-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1, yang menyaksikan dua gol dalam masa permainan sebenar terhasil menerusi penalti.

Mehdi Taremi yang dilayangkan kad merah pada masa tambahan separuh masa kedua, memastikan Team Melli mendahului pada babak pertama sebelum Syria menyamakan kedudukan menerusi Omar Khrbin pada separuh masa kedua.

Pada penentuan penalti, sepakan kedua Syria yang diambil Fahd Youssef berjaya diselamatkan Alireza Beiranvand sebelum kapten Iran, Ehsan Hajisafi menjaringkan penalti kemenangan untuk mengesahkan kemaraan skuad bimbingan Ardeshir Ghalehnoy ke suku akhir.

Kelima-lima penalti Iran disempurnakan Karim Ansarifard, Ramin Rezaeian, Omid Ebrahimi, Mahdi Torabi dan Hajisafi manakala tiga penalti Syria disudahkan dengan baik Sabbag, Ousou dan Dali.

Iran akan membuat perhitungan dengan juara empat kali Jepun pada pentas suku akhir di Stadium Education City, Sabtu ini. – BERNAMA

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini