comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Asia: Perang di Gaza tidak patahkan semangat juang Palestin

Pemain Palestin, Mohammed Saleh meraikan kemenangan pasukannya ke atas Hong Kong di Stadium Khalifa bin Abdullah, Doha.- FOTO: REUTERS

DOHA: Di sebalik kesukaran dihadapi akibat peperangan di Gaza, Palestin mencipta sejarah apabila layak ke pusingan 16 saingan Piala Asia 2023 buat kali pertama, selepas menewaskan Hong Kong 3-0 di Stadium Abdullah Bin Khalifa di sini malam tadi.

Kemenangan pertama mereka dalam sejarah pusingan akhir Piala Asia itu ia sudah cukup untuk Palestin mendapatkan tempat ke peringkat 16 terakhir, selepas muncul salah satu daripada empat pasukan di tempat ketiga terbaik.

Penyerang Oday Dabbagh muncul pemain paling menonjol apabila menjaringkan dua gol manakala Zeid Qunbar menyumbang satu gol, membolehkan Palestin menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan C dengan mengumpul empat mata.

Iran mengungguli Kumpulan C selepas mengalahkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1, yang berada di kedudukan kedua, mengatasi Palestin dengan perbezaan jaringan.

Palestin mempamerkan permainan agresif sejurus bermulanya babak pertama dan Dabbagh hampir membolosi gawang lawan pada minit keempat, selepas menerima umpanan Mus’ab Al Battat namun percubaannya berjaya ditepis keluar pertahanan Hong Kong, Oliver Gerbig.

Penyokong Palestin bersorak gembira susulan kejayaan pasukan layak ke pusingan kalah mati.- FOTO: REUTERS

Hong Kong cuba membalas serangan menerusi percubaan Yue Tze Nam dan dan Everton Camargo namun Palestin meneruskan penguasaan sebelum tandukan Dabbagh yang menyempurnakan hantaran lintang Al Battat singgah ke dalam gawang lawan sekali gus meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-12.

Palestin meneruskan tekanan terhadap pasukan lawan dan akhirnya berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-48 menerusi Qunbar yang menanduk kemas hantaran lintang Al Battat, sebelum Dabbagh menjaringkan gol keduanya, yang juga gol kemenangan Palestin pada minit ke-85.

Pada penghujung perlawanan, Hong Kong dihadiahkan sepakan penalti selepas pemeriksaan sistem video bantuan pengadil (VAR) namun Everton gagal menyempurnakannya dengan baik sekali gus memberi peluang Palestin mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama selepas tiga kali percubaan.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan C, dua jaringan pemain tengah Mehdi Taremi membolehkan Iran mengatasi UAE 2-1 dalam perlawanan di Stadium Education City.

Kedua-dua pasukan layak ke pusingan seterusnya apabila Iran mengutip mata penuh (9 mata), manakala UAE di tempat kedua, berkongsi 4 mata bersama Palestin (ketiga).

Loading...
Terkini