comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022: Australia sedia sekat kepantasan Mbappe

FOTO: reutersconnect

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

DOHA: Hanya berbaki enam hari saja lagi, kempen Piala Dunia 2022 akan membuka tirainya dengan rata-rata pasukan sudah pun berada di Doha, Qatar membuat persiapan terakhir.

Bagi pasukan Australia, penampilan kali kelima berturut-turut di pentas tertinggi bola sepak dunia ini cukup mengujakan.

Lebih-lebih lagi selepas diundi bersama juara dunia, Perancis selain Denmark dan Tunisia dalam kumpulan D.

“Ya, kami selalu mengimpikan untuk bermain dengan mereka, menyaksikan mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, liga di Eropah, kami selalu berfikir, bagaimana untuk menghadapi mereka dan kini peluang itu telah tiba dan saya sangat teruja, kita nantikan saja apa yang berlaku,” kata Thomas Deng, pemain pertahanan Australia.

Skuad kendalian Graham Arnold itu kini sudah pun berada di Doha, memulakan sesi latihan akhir sebelum membuka tirai saingan menentang Perancis 23 November nanti.

Bermakna, tugas sukar menanti dengan Perancis bakal turun dengan barisan terbaik diketuai dua penyerang berbisa, Kylian Mbappe dan pemenang Ballon d’or, Karim Benzema.

“Saya warga Australia sejati, bagi saya, mentaliti kami adalah tidak menyerah kalah, kami boleh tewaskan mana-mana pasukan pun, kami tidak takut, tidak kira siapa pun mereka, ia pertandingan 11 lawan 11 pemain, mentaliti kami mesti kuat dan tidak perlu terlalu terkejut dengan penampilan lawan.

“Pastinya semua tahu beberapa nama besar dalam pasukan Perancis, tetapi pada akhirnya, mereka manusia seperti kami, mentaliti kami warga Australia, semangat kami, jika ia adalah hari kami, saya yakin kami mampu melakukannya,” kata penyerang Australia, Mitchell Duke.

Saingan di Qatar menjadi pentas keenam Australia di Piala Dunia, kali kelima berturut-turut terutamanya sejak menjadi ahli gabungan Konfederasi Bolasepak Asia, AFC pada 2006.

Skuad Socceroos dibarisi rata-rata pemain yang berpengkalan di Eropah bersama kelab-kelab di Scotland, England dan Denmark, tidak ketinggalan, pemain-pemain yang mewakili kelab-kelab tempatan di Australia sendiri.

Sepanjang penyertaan di pentas Piala Dunia, kempen 2006 di Jerman adalah merupakan penampilan terbaik Australia apabila berjaya melangkah ke pusingan 16 pasukan sebelum cabaran berakhir di tangan Itali.

Australia akan memulakan kempen Piala Dunia 2022 berdepan Perancis 23 November ini, diikuti perlawanan menentang Tunisia pada 26 November dan akan bertemu Denmark pada 30 November untuk aksi terakhir kumpulan.

Loading...
Terkini