comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022: Belanda sedia hadapi Amerika Syarikat sehingga penentuan sepakan penalti – Van Gaal

Louis Van Gaal. FOTO: REUTERS

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

AL RAYYAN: Tamat saingan kumpulan G dan H bermakna lengkap sudah senarai 16 pasukan mara ke peringkat kalah mati untuk kempen Piala Dunia kali ini.

Dan paling awal dijadualkan turun beraksi, pasukan Belanda yang akan berdepan Amerika Syarikat jam 11 malam nanti.

Menurut pengendali Belanda, Louis Van Gaal, cabaran di pusingan kalah mati agak berbeza, namun pasukannya sudah bersedia sekiranya perlawanan terpaksa diheret sehingga penentuan sepakan penalti.

“Saya rasa bola sepak Amerika Syarikat membangun dengan pesat, dan memang ia sesuatu yang tipikal untuk bola sepak membangun dengan pantas di sana.

“Amerika Syarikat turut memiliki beberapa pemain yang beraksi di kelab ternama Eropah, memang logik untuk mereka dapat mencipta keputusan baik.

“Saya tahu sepakan penalti amat penting dan pasukan pernah mengalaminya pada kempen Piala Dunia 2014, berdepan Argentina, kita memiliki kelebihan, namun kita tewas pada penentuan sepakan penalti, sebab itulah saya memberikan perhatian lebih kepada sepakan penalti, saya telah belajar dari kesilapan saya itu,” kata Vaan Gaal pada sidang media pra-perlawanan.

Di pihak Amerika Syarikat, semestinya mereka lebih selesa dengan label pasukan ‘underdog’ memandangkan reputasi yang dimiliki Belanda jauh lebih tinggi.

Namun, kejayaan mengikat Wales dan juga England bagai memberi gambaran awal kekuatan yang dimiliki pasukan negara Uncle Sam ini.

“Perkara pertama yang boleh dilihat semestinya kualiti pasukan Belanda, jika tidak salah saya, sejak Louis Van Gaal mengambil alih pasukan, Belanda masih belum pernah tewas dan itu menunjukkan kekuatan pasukan, dari bahagian pertahanan sehinggalah bahagian serangan.

“Setiap pemain Belanda memiliki kualiti tersendiri, jadi kami perlu meningkatkan permainan kami, kerana bila berdepan pasukan begini, mungkin boleh menyekat mereka tapi untuk berapa lama.

“Jadi kami perlu berikan yang terbaik, dan itulah sebabnya kami dapat mengimbangi lawan-lawan yang sukar sebelum ini, bola sepak dimainkan dalam tempoh 90 minit, jadi kita akan melihat segalanya dari minit ke minit, memberikan yang terbaik, itu paling utama untuk kami,” kata jurulatih Amerika Syarikat, Gregg Berhalter.

Berdasarkan rekod, lima pertemuan kedua-dua pasukan sebelum ini menyaksikan Belanda gah dengan empat kemenangan.

Namun, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan dalam perlawanan persahabatan pada 2015 menyaksikan Amerika Syarikat mengejutkan Belanda menerusi kemenangan 4-3.

Belanda muncul juara kumpulan A selepas mengatasi Senegal pada perlawanan pembukaan, namun diikat Ecuador pada aksi kedua sebelum bangkit mengatasi Qatar untuk mara ke pusingan kalah mati.

Laluan Amerika Syarikat pula agak sukar, namun berjaya tampil dengan semangat tinggi ketika mengikat Wales dan England sebelum menundukkan Iran yang membawa mereka ke pusingan seterusnya.

Pertemuan Belanda – Amerika Syarikat dijadualkan berlangsung jam 11 malam ini dengan perlawanan akan berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha.

Loading...
Terkini