comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Dunia 2022 – Brazil senarai barisan terbaik hadapi Croatia

Neymar mungkin akan diturunkan menentang Croatia. – FOTO: Reuters

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

DOHA: Hanya berbaki beberapa jam sahaja lagi, Brazil akan memulakan saingan peringkat suku akhir berdepan Croatia.

Dan pastinya Brazil mahu beraksi dengan barisan terbaik dengan beberapa pemain yang tercederan kembali menyertai latihan pasukan.

Antaranya termasuklah Danilo yang baru pulih dari kecederaan di bahagian kaki dan dijangka akan berada dalam kesebelasan utama pasukan.

“Cara kita menggunakan tempo permainan kita bukan hanya untuk memegang bola sahaja, tetapi untuk menjadikan permainan lebih pantas, tetapi turut agresif ketika melakukan pertahanan.

“Dengan pemain yang hebat, trio di bahagian tengah yang bagus di pihak Croatia, kita akan memberikan tekanan sama kepada mereka, kita pernah melakukannya berdepan pasukan kuat, itu cara kita bermain tidak kira ketika berdepan pasukan berpengalaman atau tidak, sama ada mereka memiliki kemahiran tinggi atau tidak, kami tahu cara mereka dan kami yakin boleh mengekangnya,” katanya.

Empat pertemuan antara kedua-dua pasukan sebelum ini, rekod tiga kemenangan selain satu keputusan seri masih dipegang Brazil ke atas Croatia setakat ini.

Namun, memasuki peringkat suku akhir di pentas Piala Dunia, segalanya boleh berlaku dengan kedua-dua pasukan mahu mengisi slot separuh akhir.

Dan bagi pengendali, Tite, skuad Brazil kali ini memiliki ramuan yang mencukupi untuk ke peringkat seterusnya dan bukan satu misi mustahil untuk turut mara ke perlawanan akhir dan bergelar juara.

“Inilah identiti bola sepak Brazil, ia bukannya perkara baharu, terima kasih kepada jurulatih peringkat akar umbi yang telah membentuk mereka dan kini Brazil memiliki generasi pemain yang baik.

“Inilah cara kami, mesti ada keberanian untuk bermain sebegini, daripada memberi tekanan, kami lebih selesa bermain cara kami, walaupun ia berisikonuntuk dipintas lawan, saya tahu dan saya pernah laluinya.

“Ia tetap sama kerana akan meneruskan corak permainan kami, walaupun akan berlaku pertumpahan darah sekiranya tidak merangkul kejuaraan, kami akan tetap teruskan, itu cara kami dan itu yang kami impikan,” katanya.

Modric akan mengemudi skuad Croatia menentang Brazil. – FOTO: Reuters

Dalam pada itu, pengendali Croatia, Zlatko Dalic melihat aksi bertemu Brazil ini antara yang mendapat perhatian tinggi.

Bagi Dalic, tiga kekalahan dan satu keputusan seri menentang Brazil sebelum ini sudah menjadi tinggalan sejarah.

Sebaliknya Croatia sekali lagi mengidamkan pentas final selepas dikecewakan Perancis pada perlawanan akhir edisi sebelum ini di Russia.

“Ini mungkin lawan paling sukar yang akan kami hadapi pada kempen kali ini, satu pasukan yang kuat dan cukup mencabar untuk kami, dan jika saya dapat menilai, perlawanan menentang Brazil ini sama seperti ketika kami beraksi di perlawanan akhir bertemu Perancis, cuma ia datang lebih awal.

“Ini adalah perlawanan peringkat suku akhir bukan yang lebih ke hadapan, kadangkala undian memihak kita dan kadangkala sebaliknya.

“Ingin saya tegaskan, Croatia adalah satu-satunya negara kecil yang selepas melalui kejayaan di pentas Piala Dunia sebelumnya dan mampu mengulangi kejayaan sama di kempen seterusnya dan kami hanya satu-satunya pasukan yang berjaya melakukannya, untuk berada dalam kalangan 8 pasukan terbaik, memang hebat dan kami tidak mahu berhenti di situ, kami akan cuba untuk menewaskan lawan yang memiliki reputasi tinggi iaitu Brazil nanti,” kata Dalic.

Bagi kapten pasukan, Luka Modric, dia bersama rakan sepasukan memang memasang impian tinggi untuk menewaskan Brazil.

Sukar atau tidak, ia bukan satu misi mustahil selepas beberapa keputusan yang mengejutkan berlaku dalam beberapa perlawanan lain.

“Saya telah beberapa kali bermain menentang Brazil, dan masih belum dapat menewaskan mereka, saya harap ia akan berubah.

“Memang Brazil memiliki barisan pemain hebat di setiap posisi, tengah, pertahanan dan serangan, bila kita bergerak pasti akan menemui mereka di posisi yang sepatutnya mereka berada.

“Jadi kami perlu lebih agresif, dari segi larian di tahap yang tepat, kita tidak boleh biarkan mereka menguasai rentak permainan, itu sangat penting terutamanya ketika mereka memegang bola, kami perlu agresif dan tegas, tidak memberikan banyak ruang kepada mereka,” kata Modric.

Pertemuan suku akhir antara Brazil dan Croatia akan berlangsung di Stadium Education City di Al-Rayyan dengan pemenang bakal bertemu antara Belanda atau Argentina di peringkat separuh akhir nanti.

Loading...
Terkini