comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022: England cari kemenangan kedua, sedia atasi Amerika Syarikat

Southgate ketika England mengadakan sesi latihan. -Foto: Reuters

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

AL RAYYAN: England mensasarkan kemenangan kedua menentang Amerika Syarikat, sekaligus dapat mengesahkan tiket ke pusingan seterusnya lebih awal.

Bagaimanapun, pengendali England, Gareth Southgate tetap sedar, pasukan lawan juga pasti mahukan kemenangan selepas mengutip satu mata berdepan Wales.

“Pernahkan kami menewaskan Amerika Syarikat di kejohanan besar? Tidak, saya rasa tiada, jadi kami harus mencipta sejarah, kali yang pertama, kami memang bagus tentang ini, memang kami berbangga dengan kemampuan kami secara keseluruhan, jadi kami akan buktikan di atas padang dan kami tahu kami pasukan yang memiliki motivasi tinggi.

“Kami hormati pasukan lawan kami, kami juga mengenali beberapa pemain utama mereka yang bermain di England, kami tahu kualiti mereka, jadi kami perlu berada di tahap terbaik.

“Kebimbangan kini adalah selepas kemenangan pertama, kami boleh terus beraksi baik, tetapi tidak, saya perlu menekan butang permulaan untuk semua pemain berada dalam psikologi sama, semangat yang sama seperti perlawanan sebelum ini, dan saya dapat saksikan itu dimata pemain.

“Rata-rata pemain kami beraksi dengan kelab besar dan mereka perlu mempersembahkan aksi terbaik setiap minggu, mereka juga tahu, bila bermain untuk pasukan England, mereka harus melakukan perkara yang sama, saya tidak rasa kami memandang rendah pasukan Amerika Syarikat,” kata Southgate pada sidang media pasukan.

England memulakan kempen Piala Dunia dengan kemenangan cukup meyakinkan, mengatasi Iran dengan keputusan 6-2.

Bintang Arsenal, Bukayo Saka paling cemerlang meledak dua gol selain masing-masing satu gol menerusi Jude Bellingham, Raheem Sterling, Marcus Rashford dan Jake Grealish.

Amerika Syarikat pula terpaksa berkongsi mata dengan Wales selepas jaringan awal Timothy Weah berjaya diikat Gareth Bale pada pertemuan kedua-dua pasukan Selasa lalu.

Pertemuan England dan Amerika Syarikat akan berlangsung di Stadium Al Bayt jam 3 pagi esok.

Loading...
Terkini