comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022 – England mulakan kempen menentang Iran

Sidang media pasukan England. Foto Reuters

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

DOHA: Selepas aksi pembukaan Qatar menentang Ecuador, tumpuan seterusnya terarah kepada pasukan England yang akan turun beraksi menentang Iran jam 9 malam ini.

Hadir dengan reputasi selaku naib juara Piala Eropah, semestinya England diletak antara pasukan pilihan pada kempen Piala Dunia kali ini.

Dan pastinya tugas berat menanti ketua jurulatih, Gerath Southgate yang membawa misi untuk mengulangi pencapaian 1966 iaitu bergelar juara dunia.

Lawan pertama yang akan dihadapi, pasukan Iran kendalian jurulatih kelahiran Portugal, Carlos Queiroz.

“Kita telah bersedia, kita tahu pasukan lawan kita dan telah bersiap dengan baik, kita juga sudah mengkaji corak permainan Iran bersama jurulatih terdahulu, begitu juga ketika pasukan Iran bersama Carlos Queiroz, kita sempat menyaksikan pasukan Iran bermain secara langsung di Vienna bermain aksi persahabatan menentang Senegal.

“Kita juga turut menonton aksi pasukan Iran ketika kempen Piala Dunia yang lalu, tetapi apabila Queiroz menyertai pasukan, mungkin kami tidak perlu meneruskannya lagi, yang kami tahu, kami sudah membuat persiapan terbaik,” kata Southgate.

Pada edisi 2018 di Russia, England menamatkan kempen Piala Dunia di tempat keempat keseluruhan, ia selepas cabaran England di sekat Croatia di separuh akhir sebelum tewas 0-2 kepada Belgium bagi perebutan tangga ketiga.

Bagi penyerang utama, Harry Kane, saingan kali ini turut memiliki cabaran berbeza buat semua pemain.

“Gareth Southgate adalah antara individu terbaik yang membimbinh kami, pencapaian di Piala Dunia 2018, juga kejayaan ke pentas akhir Piala Eropah, cukup sebagai bukti kukuh, sebagai pemain dan jurulatih, kami tahu pencapaian kami sentiasa dinilai dan segalanya berada dalam keadaan baik dalam tempoh 4 tahun ini, dan kini ada peluang untuk pasukan melangkah lebih jauh, memang tidak sabar untuk memulakan aksi,” kata Kane.

Pada kempen 2018, Kane muncul pemenang kasut emas selepas mengumpul 6 gol sepanjang 7 perlawanan yang ditempuhi pasukan England.

Dan dengan prestasi semasanya dalam Liga Perdana Inggeris, ia bukan misi mustahil untuk mengulangi pencapaian sama.

“Dari segi pemain, sudah tentu kami akan bermain menentang pemain-pemain terbaik seluruh dunia, Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Neymar dan seterusnya, kita tunggu dan lihat saja, kebiasaannya saya tidak akan memikirkan tentang Anugerah Kasut Emas, bagi saya keutamaan adalah untuk menjuarai Piala Dunia, dan itulah fokus utama saya, juga fokus pasukan England sendiri, memang laluan agak berliku tetapi kita akan tetap fokus untuk meraih keputusan baik,” katanya lagi.

Pertemuan England menentang Iran akan berlangsung jam 9 malam ini dengan perlawanan akan berlangsung di Stadium Antarababgsa Khalifa.

Selepas Iran, skuad kendalian Southgate dijadualkan bertemu Amerika Syarikat (25 Nov) sebelum menutup aksi kumpulan B menentang Wales (29 Nov).

Loading...
Terkini