comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022 : Gakpo wira Belanda

FOTO: REUTERS

DOHA: Cody Gakpo sekali lagi menjaringkan gol, sekali gus membantu Belanda menempah tempat ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia selepas muncul juara kumpulan dengan menewaskan tuan rumah Qatar 2-0.

Belanda pada perlawanan itu hanya memerlukan satu mata untuk layak dan mereka sudah melepasi ‘percaturan’ terbabit pada babak pertama menerusi jaringan Gakpo – gol ketiga berturut-turutnya dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Frenkie de Jong menambah jaringan pada minit ke-49 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Bayt yang nyata suram.

Qatar yang sudah pun tersingkir sebelum sepak mula, kini berada dalam rentetan sejarah Piala Dunia, menjadi pasukan tuan rumah pertama yang menamatkan peringkat kumpulan tanpa sebarang mata.

Anak buah Louis van Gaal menamatkan saingan kumpulan dengan tujuh mata untuk berada di puncak Kumpulan A, manakala Senegal mengikuti jejak langkah mereka di pusingan kalah mati apabila muncul selaku naib juara selepas menewaskan Ecuador 2-1.

Belanda yang dikenali dengan julukan Oranje dijadual bertemu pasukan di tempat kedua dari Kumpulan B untuk menempah tempat ke suku akhir di Stadium Antarabangsa Khalifa, Sabtu ini.

Qatar dalam pada itu menamatkan saingan mereka dengan kekecewaan, apatah lagi mereka kini menjadi tuan rumah terburuk ketika beraksi di atas padang. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini