comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022 : Hatrik Ramos bawa Portugal ke suku akhir

FOTO : REUTERS

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

LUSAIL: Portugal bagai memberi amaran awal kepada tujuh pasukan lain terutamanya Maghribi bahawa mereka sedia untuk mara lebih jauh selepas aksi menakjubkan yang disajikan ketika menewaskan Switzerland 6-1 untuk mara ke peringkat suku akhir.

Paling cemerlang, semestinya Goncalo Ramos selepas penyerang Benfica itu menjadi pemain pertama meledak hatrik pada kempen Piala Dunia 2022 ini.

Dan sebenarnya, pertaruhan yang dilakukan jurulatih, Fernando Santos dengan tidak menyenaraikan pemain bintang mereka, Cristiano Ronaldo nyata berbaloi.

“Tiada siapapun bercakap mengenainya, Cristiano Ronaldo sebagai kapten pasukan telah melakukan segalanya di setiap perlawanan, dia memberikan semangat, bukan hanya kepada saya tetapi juga buat semua pemain dalam pasukan ini.

“Saya belum melihat lagi apa-apa pesanan ringkat di telefon saya, sebaik memasuki bilik persalinan, saya terus menghubungi keluarga saya, kawan-kawan saya tetapi saya belum sempat untuk membaca mesej yang di terima.

“Berkenaan komen jurulatih, saya bersetuju dengannya, kita tidak boleh mengambil kira keputusan ini untuk perlawanan seterus, kita perlu fokus lain untuk itu, harus diingati, perlawanan akan bermula dengan kedudukan 0-0.

“Saya tidak terfikir dapat berada dalam kesebelasan utama di peringkat kalah mati ini, jangkaan saya, memang perlu ambil satu perlawanan ke satu perlawanan,” kata Ramos.

Aksi menentang Switzerland semalam, Ronaldo hanya berada di bangku simpanan, sementara Ramos diberi tugaa penting untuk menjaringkan gol.

Dan minit ke 17, dia sudah pun mendapatkan sentuhannya sebelum pemain pertahanan, Pepe menanduk masuk gol kedua pada minit ke 33.

Minit ke 51, Ramos menjaringkan gol ketiga pasukan, diikuti dengan gol Raphael Guerreiro empat minit berselang untuk kedudukan 4-0.

Manuel Akanji kemudiannya berjaya menjaringkan gol buat Switzerland, namun ia tidak mematahkan semangat pemain-pemain Portugal dengan Ramos melengkapkan hatrik pada minit ke 67.

Fernando Santos ketika perlawanan, turut kelihatan, Cristiano Ronaldo di bangku simpanan

Ketika permainan menghampiri wisel penamat, Rafael Leao menambah satu lagi gol untuk menyaksikan Portugal ceria melangkah ke suku akhir dengan kemenangan 6-1.

“Tentang perlawanan menentang Maghribi, mereka sebuah pasukan yang kompetitif sepertimana yang pernah saya hadapi pada 2018, saya pernah menyaksikan beberapa perlawanan mereka, tetapi tidak seperti saya melihatnya ketika ini.

“Saya telah menyaksikan perlawanan menentang Sepanyol, dan saya akan menonton permainan mereka sekali lagi, rasanya ada beberapa pemain yang beraksi di kelab di Greece yang saya kenali rapat dan saya miliki maklumat, memang mereka pasukan berkualiti,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.

Sudah tentu kemenangan sekali lagi menjadi sasaran Portugal, namun selepas apa yang telah disajikan Maghribi, skuad Portugal perlu bersedia sebaik mungkin bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa seterusnya.

Loading...
Terkini