comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022: Jaringan Hee-chan bawa Korea ke pusingan kalah mati

Hwang Hee-chan. – FOTO: REUTERS

AL-RAYYAN: Jaringan masa kecederaan penyerang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan menyaksikan satu lagi kejutan dari pasukan benua Asia.

Korea muncul pasukan ketiga dari Asia mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati selepas menundukkan Portugal menerusi kemenangan 2-1.

Dan ia turut disusuli dengan kegagalan Uruguay untuk menambah satu lagi gol pada minit akhir ketika menentang Ghana menyaksikan Korea ceria mengiringi Portugal menerusi kelebihan jaringan.

Namun, detik paling mengujakan tetap terarah kepada jaringan Hee-chan yang jelas menceriakan seluruh penyokong Korea.

“Sebelum perlawanan, Son Heung-Min memberitahu saya, saya akan mencipta sesuatu yang besar.

“Katanya seluruh pasukan mempercayai saya, dan bila Son mendapatkan bola, saya berkeyakinan dia akan membuat hantaran kepada saya dan lorongannya sangat cantik, ia memudahkan tugas saya untuk menjaringkan gol.

“Sebagai warga Korea, sudah tentu saya sangat berbangga, terima kasih kepada semua penyokong, saya lega dapat hadiahkan kemenangan ini kepada mereka.

“Saya hanya mahu menyumbang sesuatu selepas tidak dapat bermain dalam dua perlawanan awal, memang ada risiko besar tetapi saya tidak peduli apa yang mungkin akan berlaku ke atas diri saya,” kata Hee-chan selepas perlawanan.

Korea turun dengan misi mesti menang, namun berdepan tugas sukar kerana perlu mengatasi Portugal yang diketuai oleh Cristiano Ronaldo.

Ricardo Horta terlebih dahulu meletakkan Portugal di depan pada minit ke 20, namun kembali di balas Korea menerusi jaringan Kim Young Gwon tujuh minit berselang.

Detik yang dinanti seluruh peminat Korea hanya hadir pada masa kecederaan, serangan balas Korea menerusi Son Heung-min bagai sudah di baca Hwang Hee-chan sebelum dia melepasi perangkap ofsaid dan menerima lorongan cantik daripada rakannya itu untuk menewaskan Diogo Costa di gawang Portugal.

Tamat dengan keputusan 2-1, pesta Korea ditunda seketika, dan sambutan hanya bermula selepas pengesahan keputusan satu lagi perlawanan dengan Uruguay gagal menambah satu lagi gol ketika menundukkan Ghana 2-0 menyaksikan Korea berjaya mengiringi Portugal ke pusingan kedua selaku naib juara kumpulan H.

Loading...
Terkini