comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022 : Jepun bawa aura ‘samurai, idam satu lagi kejutan, sedia robek kubu Croatia

Pasukan Jepun jalani latihan. – FOTO : Reuters

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

AL RAYYAN : Belum pernah melayakkan diri ke peringkat suku akhir, itulah sejarah yang mahu di cipta Jepun menjelang aksi pertemuan menentang Croatia malam nanti.

Enam penampilan berturut-turut di pentas Piala Dunia sebelum ini, Jepun hanya mampu mara sehingga pusingan 16 pasukan sebelum tersingkir dari persaingan.

Namun, dengan persembahan memukau pada aksi peringkat kumpulan, berjaya menundukkan dua bekas juara dunia, Jerman dan Sepanyol, sasaran untuk ke suku akhir bukan lagi misi mustahil.

“Saya tidak akan melupakan perlawanan menentang Belgium, kadangkala ia kembali ke dalam ingatan saya, empat tahun kebelakangan ini amat sukar untuk saya, fikiran saya tetap terarah kepada Piala Dunia Qatar, dan kami telah mengatasi segala cabaran sepanjang empat tahun ini.

“Kami telah berkembang dengan baik secara fizikal dan mental, sejak 2008, untuk 15 tahun, saya telah bermain di Piala Dunia, dan apa yang saya boleh katakan, skuad kali ini adalah yang terbaik, pasukan terkuat yang akan bersaing di Piala Dunia, jadi, kami mahu tewaskan Croatia, dan cipta sejarah baharu.

“Seperti yang saya katakan, keberanian, kami perlu bermain dengan penuh keberanian, sepeti analogi seorang samurai, mereka akan asah senjata dan cuba meningkatkan teknik mereka, tetapi jika takut untuk berperang, mereka tidak akan dapat menggunakan senjata dan teknik mereka sebaiknya, ia sama seperti bola sepak,” kata pemain pertahanan Jepun, Yuto Nagatomo.

Dalam pada itu, keyakinan tetap disuarakan pengendali skuad ‘Samurai Biru’, Hajime Moriyasu, anak-anak buahnya mampu untuk menyaingi Croatia.

“Untuk Jepun menjuarai Piala Dunia, kami telah membentuk pemain-pemain muda ini, kami telah cuba membentuk situasi yang sesuai untuk melahirkan pemain-pemain ini, pada masa sama, bukan secara peribadi, tetapi Persatuan Bolasepak Jepun turut memasang sasaran membantu bola sepak Asia, telah menghantar ramai jurulatih Jepun di benua ini,” katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pasukan memiliki pencapaian seimbang menerusi catatan satu kemenangan, satu keputusan seri dan sekali tewas.

Luka Modric ketika jalani latihan bersama rakan sepasukan. – FOTO : Reuters

Namun, dipihak Croatia, kejayaan melangkah ke pentas final pada edisi 2018 mahu diperbaiki pada edisi kali ini.

Dan pastinya kehadiran Luka Modric terus menjadi pertaruhan terbaik untuk perkara ini menjadi realiti.

“Populasi negara Croatia adalah seramai 4 juta penduduk, dan pencapaian yang telah di lakar di pentas Piala Dunia amat menakjubkan, terus membuat penampilan di Piala Dunia juga sudah menjadi satu kejayaan, dan kami mahu jadi kuasa besar bola sepak dunia.

“Tiada lagi kata-kata pujian dapat saya berikan kepada Luka Modric, ini bukan kejohanan terakhirnya bersama pasukan Croatia, dia seorang yang professional, sedang berada di tahap terbaik, usaha kerasnya tidak boleh dipertikaikan, kami masih memerlukan khidmat Luka pada masa akan datang,” kata Zlato Dalic, jurulatih Croatia.

Pertemuan Jepun dan Croatia akan berlangsung di Stadium Al Janoub jam 11 malam nanti.

Loading...
Terkini