comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022: ‘Kekalahan yang tidak adil buat Korea Selatan’ – Costa

FOTO: AFP – Pemain Korea Selatan mempertikai keputusan pengadil, Anthony Taylor kerana tidak memberikan sepakan sudut dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia 2022 antara Korea Selatan dan Ghana di Stadium Education City, Doha. – Ghana menang 3-2.

AL RAYYAN: Penolong jurulatih Korea Selatan, Sergio Costa menyifatkan kekalahan 3-2 di tangan Ghana adalah keputusan yang tidak adil buat pasukannya, yang kini di tangga tercorot Kumpulan H Piala Dunia.

Dua gol jaringan Cho Gue-sung nyata tidak mencukupi buat wakil Asia itu untuk menewaskan Ghana walaupun mereka menguasai permainan.

Korea Selatan hanya mampu mengumpul satu mata selepas seri tanpa jaringan menentang Uruguay dan kini perlu menewaskan Portugal pada Jumaat untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati.

Costa hadir di sidang media selepas perlawanan menggantikan Paulo Bento, selepas pengendali itu dilayangkan kad merah kerana membantah pengadil menamatkan perlawanan ketika Korea Selatan mahu mengambil sepakan sudut.

“Dalam tempoh 25 minit pertama, kami mampu mengawal permainan dengan menguasai bola, ia sangat bagus.

“Kami membuat hantaran dengan baik dan mengikuti strategi untuk perlawanan ini.

Selepas gol pertama, ia mula berubah sehingga akhir babak pertama.

“Ketika itu kami hilang kawalan. Babak kedua berubah sepenuhnya – kami ada kawalan, menguasai bola dan mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

“Keputusan ini tidak adil, malah keputusan seri juga tidak adil buat kami. Kami sepatutnya menang, tunggu perlawanan seterusnya,” kata Costa.

Pemain Korea Selatan nyata cukup kecewa dengan kapten dan bintang mereka, Son Heung-min kelihatan tidak dapat menahan air mata. – REUTERS

Loading...
Terkini