comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022 : Maghribi cipta sejarah, Bounou bawa pasukan ke suku akhir dengan singkirkan Sepanyol

Aksi Bounou ketika menyekat percubaan Carlos Soler. – FOTO : REUTERS

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

DOHA: Stadium Education di Doha gempita dengan sorakan gembira penyokong Maghribi selepas menyaksikan pasukan mereka mara ke peringkat suku akhir buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.

Dan ia diraikan cukup meriah bila mana Maghribi mencipta satu lagi kejutan, kali ini menyingkirkan juara edisi 2010, Sepanyol menerusi kemenangan penentuan sepakan penalti 3-0 selepas aksi permainan selama 120 minit berakhir tanpa jaringan.

Semestinya penjaga gol, Yassine Bounou tampil cukup cemerlang menyelamatkan dua sepakan Carlos Soler dan Sergio Busquet sebelum jaringan Acshraf Hakimi membawa Maghribi terus ke persaingan 8 pasukan terbaik dunia.

“Mereka telah beraksi dengan cukup baik, tenaga yang ditonjolkan dengan semangat tidak mahu kalah, mereka bekerja keras mempertahankan kubu berdepan antara pasukan terbaik dunia, mereka memaksa kami bekerja keras dan kami tahu kami akan berdepan kesukaran.

“Kami bermain strategi lebih kurang sama seperti ketika menentang Belgium, sudah tentu kami perlu sesuaikan diri dengan corak permainan lawan, kami tidak boleh terlalu menekan mereka kerana itu yang mereka mahukan, itu yang kita perkatakan sebelum perlawanan, perlu bersabar.

“Kami mahu memenanginya sebelum penentuan sepakan penalti kerana kami tahu kami berdepan antara penjaga gol terbaik di dunia, kami berpeluang untuk menang lebih awal tetapi Sepanyol tetap mengawal keadaan, jadi kami tetap melawan.

“Ramai pemain kami cedera sejak dari awal lagi, sebab itu ia adalah pencapaian cukup cemerlang, mereka berjuang penuh semangat, bermain dalam satu pasukan seperti keluarga, dan kami tahu kami ada penyokong yang sentiasa memberikan semangat, kami ambil tenaga itu untuk memberikan persembahan terbaik,” kata jurulatih Maghribi, Walid Redragui.

Pemain Maghribi meraikan kejayaan selepas pasukan sah ke suku akhir

Atas kertas, memang Sepanyol dilabel sebagai pasukan pilihan lebih-lebih lagi Maghribi belum pernah menundukkan skuad La Roja dalam tiga pertemuan sebelum ini.

Namun, Maghribi tampil dengan permainan kemas, berjaya mengimbangi asakan Sepanyol, malah turut mencipta beberapa peluang jaringan.

Bagaimanapun, aksi selama 120 minit berakhir tanpa jaringan, memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Abdelhamid Sabiri tenang menewaskan Unai Simon untuk Maghribi mendahului, dan ia disusuli dengan kegagalan Pablo Sabaria selepas tendangannya hanya singgah ditiang gol.

Hakim Ziyech kemudiannya meletakkan Maghribi tambah selesa dengan gol kedua, sementara Yassine Bounou tampil lebih baik apabila menyekat percubaan Carlos Soler.

Dengan Simon berjaya menyelamatkan percubaan Badr Benoun, peluang masih ada buat Sepanyol untuk kembali bangkit.

Bagaimanapun, Bounou terus mempamerkan ketangkasannya, kali ini menyekat percubaan kapten pasukan, Sergio Busquet dan Hakimi Achraf kemudiannya menjaringkan gol ketiga, menyaksikan slot ke suku akhir menjadi milik Maghribi menerusi kemenangan 3-0.

Ia kemenangan yang cukup bermakna selepas lima percubaan sebelum ini gagal membuahkan hasil.

Dan peringkat suku akhir nanti, satu lagi lawan sukar menanti Maghribi, berdepan pasukan Portugal yang mara ke suku akhir selepas membelasah Switzerland 6-1.

Loading...
Terkini