comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022 – ‘Magis’ Messi hidupkan peluang Argentina

FOTO AFP – Lionel Messi meraikan jaringannya dalam aksi Kumpulan C Piala Dunia 2022 antara Argentina dan Mexico di Stadium Lusail, Doha. Argentina menewaskan Mexico 2-0.

DOHA: Lionel Messi membantu Argentina kembali menghidupkan peluang di Piala Dunia selepas menjaringkan satu gol untuk menewaskan Mexico 2-0, sebentar tadi.

Selepas dikejutkan dengan kekalahan di tangan Arab Saudi dalam aksi pembukaan Kumpulan C, Argentina berdepan misi wajib menang pada pertemuan dengan Mexico untuk menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati.

Pada aksi di Stadium Lusail, Messi yang juga penyerang Paris Saint Germain (PSG) memecah kebuntuan apabila membuka tirai jaringan menerusi rembatan rendah dari jarak 20 meter pada minit ke-64.

Pemain tengah, Enzo Fernandez kemudiannya meledak gol kedua Argentina pada minit ke-87 untuk memastikan kemenangan buat pasukan itu.

Jaringan Messi dalam perlawanan itu menyaksikan dia menyamai rekod mendiang Diego Maradona dengan lapan gol dan 21 penampilan di Piala Dunia bersama Argentina.

Ia hadir sehari selepas ulang tahun kedua kematian Maradona.

Argentina perlu menang aksi kumpulan terakhir menentang Poland, awal pagi Khamis ini bagi mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini