comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022 : Messi, Scaloni ramal pertembungan sukar berdepan Belanda

FOTO: Lionel Scaloni ketika memberikan arahan kepada pemainnya pada perlawanan antara Argentina dan Australia di Stadium Ahmad Bin Ali, Doha, pagi tadi. – AFP

AL RAYYAN, Qatar: Kapten Argentina, Lionel Messi dan jurulatih Lionel Scaloni meramalkan pertembungan sukar tetapi menarik dengan Belanda apabila kedua-dua pasukan bertemu pada suku akhir Piala Dunia, awal pagi Sabtu ini.

Argentina mengatasi Australia 2-1, manakala Belanda menewaskan Amerika Syarikat 3-1 awal pagi tadi untuk menempah pertemuan menarik antara dua pasukan hebat dalam dunia bola sepak.

Mereka berentap pada final Piala Dunia 1978 yang dimenangi negara Amerika Selatan itu.

“Ia pasti satu perlawanan yang amat cantik dengan dua pasukan penuh bersejarah. Malangnya satu pasukan terpaksa kalah dan kami berharap kami yang berjaya meloloskan diri,” kata Scaloni pada sidang akhbar jam 1 pagi di Qatar selepas kemenangan pasukannya pada pusingan 16 terakhir ke atas Australia.

Aksi kapten Argentina, Lionel Messi ketika menentang pasukan Australia di Stadium Ahmad Bin Ali, Doha, pagi tadi. – Foto AFP

Menyedari jurang perbezaan usia yang ketara, Scaloni, 44, berkata sejak zamannya bermain, beliau sudah mengagumi jurulatih Belanda, Louis van Gaal, 71.

“Beliau seorang yang agung ketika itu. Satu detik membanggakan untuk berdepannya. Kita tahu betapa banyak sumbangannya dalam bola sepak dan bagaimana ramai yang cuba mengikut jejak langkahnya,” katanya.

“Inilah satu daripada keseronokan yang anda dapati dalam bola sepak, terutama apabila ia berlaku pada Piala Dunia.

“Kami berdepan lawan yang sukar, seperti mereka juga dan kami berharap mampu bertindak baik. Mungkin mereka tidak menyinar seperti pasukan Belanda sebelum ini, tetapi mereka tahu apa yang mereka lakukan.

“Messi, yang membuka tirai jaringan dan dinamakan pemain terbaik perlawanan menentang Australia pada penampilan ke-1,000 dalam kariernya turut bersetuju dengan cabaran sukar menanti mereka.

“Kini kami berdepan satu pertembungan getir dengan Belanda yang beraksi dengan amat bagus,” katanya kepada wartawan.

“Mereka mempunyai pemain hebat dan seorang jurulatih hebat, ia pasti sengit.Ia aksi suku akhir Piala Dunia dan jika Piala Dunia sukar sejak mula, ia pasti lebih sukar pada peringkat ini.” – REUTERS

Loading...
Terkini