comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022: Neymar mungkin beraksi, Korea sedia sahut cabaran Brazil

Neymar kembali jalani latihan bersama skuad Brazil. – FOTO: REUTERS

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

AL RAYYAN: Bintang utama Brazil, Neymar mungkin tersenarai dalam kesebelasan utama menjelang pertemuan menentang Korea Selatan awal pagi esok.

Ia selepas kelibat penyerang Paris Saint Germain, PSG itu kelihatan pada sesi latihan skuad Brazil.

Menurut pengendali Brazil, Tite, Neymar hampir pasti akan diturunkan, namun, ia bergantung kepada prestasi semasanya.

“Berkenaan Neymar, seperti yang semua mahu tahu, dia akan terus mengikuti sesi latihan, dan ya, dia akan diturunkan untuk aksi menentang Korea, tetapi dia akan melalui sesi latihan khas untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku lagi.

“Saya tidak akan memberikan maklumat yang salah, saya mahu terus dipercayai, sepanjang karier saya, saya selalu kekalkan kredibiliti saya, jika saya tidak mahu bercakap, saya tidak akan bercakap, Neymar akan mengikuti sesi latihan dan dia akan bermain, 10 pemain lain, itu rahsia saya,” katanya.

Son Heung-min bakal jadi tumpuan berdepan Brazil. – FOTO: REUTERS

Antara yang menjadi tumpuan Brazil semestinya pemain bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min.

“Son Heung-min bermain di London seperti saya, saya tahu memang sukar untuk berdepan mereka, pemain tengah mereka juga amat baik, mampu membuat hantaran baik, kami menyedari perkara itu.

“Mereka bagus ketika bertahan, begitu juga ketika membuat serangan balas, jika dilihat pada gol kedua ketika menentang Portugal, Son membawa bola secara solo, dan pemain yang menjaringkan gol hanya berada sedikit di belakangnya, dia mempu membuat larian untuk membantu Son sebelum menjaringkan gol, kami perlu berhati-hati di situ,” kata Thiago Silva, pemain pertahanan Brazil.

Sementara itu, kem Korea Selatan turut akui, kehadiran Neymar pastinya menambah kekuatan Brazil.

“Memang saya hipokrit jika mengatakan rela berdepan Brazil dengan Neymar turut bermain, secara jujurnya, saya mahu semua pemain saya boleh beraksi, jika tidak mungkin sedikit sukar.

“Kita tahu Neymar sudah pulih dan boleh beraksi, cuma kita tidak tahu sama ada Tite akan menurunkannya atau tidak, tetapi kami akan bermain sebaik mungkin dengan taktik yang terbaik untuk bersaing dengan pasukan besar seperti Brazil, kali ini pasukan kami amat berbeza dan bersedia untuk berjuang,” kata pengendali Korea, Paulo Bento.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan, hanya sekali Korea pernah mengejutkan Brazil, itupun pada aksi persahabatan 23 tahun lalu pada 1999.

Pertemuan akhir kedua-dua pasukan Jun lalu turut menyaksikan dominasi disajikan Brazil menerusi kemenangan 5-1.

Pertemuan Brazil dan Korea akan berlangsung di Stadium 974 jam 3 pagi nanti.

Loading...
Terkini