comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022: Van Gaal tetap senaraikan Memphis Depay

FOTO: OnsOranje / Facebook

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

ZEIST: Louis Van Gaal mengumumkan senarai 26 pemain Belanda yang akan membawa cabaran pada kempen Piala Dunia 2022 yang akan bermula tidak lama lagi.

Paling menjadi tumpuan, penyenaraian penyerang Barcelona, Memphis Depay walaupun pemain itu masih menjalani rawatan hamstring ketika ini.

“Memphis Depay masih cedera dan belum pulih, memang itu melanggar polisi kerja saya, tetapi kehadiran Memphis sangat penting dalam ini, bukan hanya sebagai seorang pemain, tetapi juga sebagai seorang individu, jadi ya, saya perlu memberikan dia tempat dalam pasukan saya.

“Pemain-pemain akan menyertai kem kebangsaan pada hari Isnin, selepas itu saya akan mengadakan mesyuarat bukan hanya dengan pemain sahaja, tetapi juga dengan pegawai-pegawai pasukan, kemudian penerangan lanjut akan diberikan oleh tiga orang pegawai berhubung struktur dan peraturan dan kami hanya ada satu misi utama iaitu menjadi juara dunia,” kata Van Gaal pada sesi pengumuman pasukan.

Pengumuman senarai pemain Belanda menjadi tumpuan apabila penjaga gol berpengalaman, Jesper Cillessen antara yang tidak tersenarai, sebaliknya Van Gaal menamakan Remko Pasveer, Andries Noppert dan Justin Bijlow selaku penjaga gol.

Bahagian pertahanan menyaksikan Belanda antara yang memiliki barisan terbaik, bakal dikemudi bintang Liverpool, Virgil Van Dijk bersama Matthijs de Ligt selain beberapa pemain ternama termasuklah Nathan Ake, Jurrien Timber, Daley Blind dan pertahanan muda Manchester United, Tyrell Malacia.

Disebalik prestasi terumbang-ambing di Barcelona, Van Gaal turut memberi kepercayaan kepada Frankie De Jong untuk mengisi bahagian tengah bersama beberapa pemain Ajax seperti Davy Klaasen dan Steven Berghuis, tidak ketinggalan pemain muda PSV, Xavi Simons, antara nama yang mengejutkan disenaraikan Van Gaal.

Bahagian serangan, selain Depay, prestasi memuncak penyerang PSV, Cody Gakpo menyaksikan dia turut tersenarai bersama rakan sepasukan, Luuk de Jong, begitu juga penyerang Ajax, Steven Bergwijn yang kembali pada prestasi terbaiknya sejak meninggalkan Tottenham Hotspur.

Pemilihan kali ini turut menyaksikan beberapa pemain penting tidak mendapat tempat dalam skuad ‘Oranje’ antaranya termasuklah Ryan Gravenberch dan Brian Brobbery selain pemain pertahanan, Sven Botman.

Dan berikut senarai penuh 26 pemain yang akan membawa cabaran Belanda di Qatar:

Penjaga Gol: Justin Bijlow (Feyenoord), Andries Noppert (Heerenveen), Remko Pasveer (Ajax Amsterdam)

Pertahanan: Nathan Ake (Manchester City), Daley Blind (Ajax), Virgil van Dijk (Liverpool), Denzel Dumfries (Internazionale), Jeremie Frimpong (Bayer Leverkusen), Matthijs de Ligt (Bayern Munchen), Tyrell Malacia (Manchester United), Jurrien Timber (Ajax), Stefan de Vrij (Internazionale)

Pemain Tengah: Steven Berghuis (Ajax), Frenkie de Jong (Barcelona), Davy Klaassen (Ajax), Teun Koopmeiners (Atalanta Bergamo), Marten de Roon (Atalanta Bergamo), Xavi Simons (PSV Eindhoven), Kenneth Taylor (Ajax)

Penyerang: Steven Bergwijn (Ajax), Memphis Depay (Barcelona), Cody Gakpo (PSV), Vincent Janssen (Antwerp), Luuk de Jong (PSV), Noah Lang (Club Brugge), Wout Weghorst (Besiktas)

Belanda yang diundi dalam kumpulan A akan memulakan kempen Piala Dunia berdepan Senegal (22 November), diikuti pertemuan menentang Ecuador (26 November) sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu pasukan tuan rumah, Qatar (29 November).

Loading...
Terkini