comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Dunia – Bintang Jepun di Bundesliga ada resipi tewaskan Jerman

Barisan pemain Jepun ketika sesi bergambar, semalam. – Foto Reuters

DOHA: Lapan daripada skuad Piala Dunia Jepun beraksi di Bundesliga tetapi penyerang, Ritsu Doan menegaskan hubungan ‘persahabatan’ itu akan dilupakan seketika apabila mereka bertemu Jerman pada perlawanan pembukaan di Qatar.

Jepun memulakan kempen Kumpulan E menentang Jerman, Rabu ini dan kedua-dua pasukan berkemungkinan akan menentang beberapa muka biasa yang ditemui di Bundesliga ketika bersama kelab masing-masing.

Doan akan bersaing dengan rakan sepasukan di Freiburg, Matthias Ginter dan Christian Gunter, manakala penyerang Eintracht Frankfurt dari Jepun, Daichi Kamada mungkin bertembung dengan Mario Gotze dan Kevin Trapp.

Doan, yang menyertai Freiburg dari PSV Eindhoven pada musim panas berkata, hubungan rakan sepasukan di kelab akan dilupakan seketika apabila memasuki padang di Doha.

“Saya tidak menghubungi mereka apabila saya berada di sini. Saya bercakap dengan mereka sebelum meninggalkan Jerman.

“Sudah tentu saya gembira bermain menentang mereka tetapi kami tiada hubungan persahabatan sehingga tahun baharu. Saya akan memberikan segalanya untuk negara saya,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Doan percaya Jepun mempunyai ‘peluang besar’ untuk melepasi saingan Kumpulan E yang dilihat sukar apabila ia turut dihuni Sepanyol dan Costa Rica.

Rakan sepasukannya, Yuto Nagatomo pula berkata, pemain yang berpangkalan di Bundesliga pantas berkongsi maklumat berhubung corak permainan Jerman.

“Anda tidak perlu bertanya… di kantin atau dalam bas, anda akan mendapat maklumat dari mana-mana.

“Saya sudah melihat banyak video, begitu banyak sehingga saya tidak perlu menonton lagi kerana semuanya ada dalam kepala saya,” kata Nagatomo. – AFP

Loading...
Terkini